Transcript
  • PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) V, 9-10 SEPTEMBER 2013

    284

    Mohammad Hatta (1902M-1980M): Perkembangan Politik di Indonesia

    dan Reaksi Terhadap Pembaharuan di Turki

    Siti Nurul Izza Hashim & Ermy Azziaty Rozali

    Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam

    Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor, Malaysia

    Abstrak: Mohammad Hatta merupakan seorang pemimpin terkenal di Indonesia yang memberi sumbangan

    besar terhadap perkembangan politik untuk membebaskan diri daripada penjajahan Barat. Kajian ini

    bertujuan untuk melihat sejauh mana peranan beliau terhadap perkembangan politik di Indonesia serta reaksi

    beliau terhadap pembaharuan di Turki yang boleh dicontohi oleh Indonesia. Selain itu, artikel ini turut

    menganalisis biografi Mohammad Hatta yang merangkumi asal-usul dan pendidikan. Kajian ini

    menggunakan kaedah kualitatif menerusi ulasan literatur berdasarkan beberapa sumber primer dan sekunder.

    Hasil kajian mendapati bahawa kecenderungan beliau untuk membebaskan diri daripada penjajahan Barat

    dalam aspek politik tercapai apabila Indonesia diakui sebagai negara berdaulat pada tahun 1945M. Di

    samping itu, pengalaman hidup di Belanda telah mengajar Mohammad Hatta untuk bangkit memajukan

    bangsa sendiri agar tidak dihina oleh bangsa lain. Kepentingan kajian ini adalah amat relevan kerana

    ketokohan dan pengaruh pemikiran beliau tersebar luas di Indonesia serta meninggalkan kesan yang besar

    dalam pelbagai aspek, khususnya politik.

    PENGENALAN

    Mohammad Hatta dilahirkan dan dibesarkan ketika

    Indonesia dijajah oleh Belanda. Penjajahan tersebut

    menimbulkan kesedaran politik bagi Hatta untuk

    membantu Indonesia membebaskan diri daripada

    penjajahan Belanda. Ini kerana Hatta merasakan

    rakyat Indonesia terlalu jauh ketinggalan dalam

    pelbagai aspek sama ada ekonomi, politik dan sosial.

    Selain itu, Hatta juga tidak berpuas hati dengan

    pentadbiran Belanda yang sering menindas rakyat

    Indonesia dalam bidang ekonomi. Oleh sebab itu,

    pelbagai usaha dilakukan oleh Hatta untuk mencapai

    kemerdekaan Indonesia.

    Kejayaan Mustafa Kemal memajukan Turki

    telah memberikan sumber inspirasi dan menarik

    minat Hatta untuk memajukan Indonesia dalam

    pelbagai aspek sama ada ekonomi, politik dan sosial.

    Pengalaman yang diperolehi di Belanda dipraktikan

    oleh Hatta dengan sebaik-baiknya agar Indonesia

    memperolehi kemerdekaan. Tambahan pula,

    pengalaman tersebut telah mematangkan cara

    pemikiran Hatta dalam membuat sesuatu keputusan

    tanpa menyakitkan hati mana-mana pihak. Usaha

    Hatta dalam mencapai kemerdekaan Indonesia

    dipenuhi dengan pelbagai dugaan dan cabaran

    sehingga beliau dipenjarakan. Namun begitu, ia

    tidak mematahkan semangat Hatta untuk berjuang

    sehingga akhir hayatnya bagi mencapai

    kemerdekaan Indonesia.

    Artikel ini dimulakan dengan perbincangan

    mengenai biografi Hatta merangkumi kelahiran, sifat

    peribadi dan pendidikan. Seterusnya, akan

    membicarakan peranan yang dilakukan oleh Hatta

    terhadap perkembangan politik Indonesia sehingga

    Indonesia diakui sebagai negara berdaulat pada

    tahun 1945M. Perbincangan terakhir akan tertumpu

    kepada reaksi Hatta terhadap pembaharuan di Turki.

    Ini kerana, pembaharuan tersebut menarik minat dan

    memberikan sumber inspirasi kepada Hatta untuk

    bangkit menentang penjajahan Belanda.

    Mohammad Hatta (1902M-1980M): Mohammad

    Hatta dilahirkan pada 12 Ogos 1902M, di

    Bukittinggi Sumatera Barat. Bapanya bernama Haji

    Muhammad Djamil yang berasal dari Batu hampar

    manakala ibunya bernama Siti Saleha merupakan

    keluarga yang dihormati di Bukittinggi. Nama

    sebenar Muhammad Hatta ialah Mohammad Athar

    yang bermaksud harum. Selain itu, Hatta merupakan

    anak kedua dalam keluarganya dan mempunyai

    seorang kakak yang bernama Rafiah. Ketika berusia tujuh bulan, bapanya meninggal dunia. Kemudian,

    ibunya berkahwin pula dengan Mas Agus Haji Ning,

    iaitu seorang pedagang dari palembang (amrin 1981:

    1-2). Hubungan Hatta dengan bapa tirinya sangat

    baik dan akrab. Bahkan beliau menganggap Mas

    Agus Haji Ning sebagai bapa kandungnya (Noer

    1990: 18).

    Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) V: Ulama dan Cabaran Idealisme Semasa

    disunting oleh: Azmul Fahimi Kamaruzaman, Ezad Azraai Jamsari, Farid Mat Zain, Hakim Zainal,

    Maheram Ahmad, Napisah Karimah Ismail & Rabitah Mohamad Ghazali

    Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor

    ISBN 978-983-9368-62-8 (2013), http://www.ukm.my/nun/prosiding.htm

  • PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) V, 9-10 SEPTEMBER 2013

    285

    Jika diteliti, Hatta dibesarkan dalam keluarga

    yang kaya dan dihormati. Datuk sebelah bapanya

    merupakan seorang ulama yang disegani manakala

    nenek sebelah ibunya merupakan seorang saudagar

    yang terkenal di Indonesia dan Belanda. Oleh yang

    demikian, tidak hairanlah jika Hatta mempunyai

    kebijaksanaan yang luar biasa untuk mencapai

    kemerdekaan Indonesia sehingga sanggup

    menghadapi segala penderitaan dan cubaan dengan

    jiwa yang tenang (Aman: 4). Walau bagaimanapun,

    kehidupan Hatta tidak seperti kanak-kanak kecil

    yang lain. Ini kerana jiran tetangga beliau tidak

    mempunyai anak yang seusia dengannya untuk

    bermain. Tambahan pula, beliau merupakan seorang

    sahaja anak lelaki dalam keluarganya. Ini

    menyebabkan Hatta sering dilihat bermain bola

    sepak sendirian. Beliau membuat bola dengan manik

    bulat manakala pemain-pemainnya diperbuat

    daripada gabus yang diisi timah (Lembaq 1980: 5).

    Ketika kecil lagi Hatta mempunyai disiplin

    yang tinggi dalam membahagikan masa dan

    membelanjakan wang (Noer 1990: 19). Beliau akan

    menabung wang yang diberikan oleh bapanya, iaitu

    dengan cara menyusun wang syiling tersebut di atas

    meja. Sekiranya wang tersebut diminta dengan baik

    oleh orang lain untuk meminjamnya, Hatta tanpa

    banyak soal akan memberikan wang tersebut. Selain

    itu, hatta memiliki sikap bapanya, iaitu suka

    membaca dan menulis buku. Bahkan, setiap orang

    yang memimjam buku beliau akan dicatat nama

    pemimjam, tarikh pinjam dan pulang buku tersebut

    (Lembaq 1980: 6).

    Menurut Mavis (1987), berpendapat bahawa

    Hatta merupakan seorang pelajar yang kemas dalam

    berpakaian. Beliau seorang kanak-kanak yang suka

    duduk di rumah berbanding melepak bersama kawan

    sekolahnya. Hal ini kerana, Hatta tidak suka

    membuang masa dengan berbincang perkara yang

    tidak mendatangkan faedah. Sekiranya mempunyai

    masa lapang, Hatta akan membaca buku untuk

    menambah ilmu pengetahuan. Ini terbukti apabila

    beliau menulis di dalam penjara ketika beliau

    ditangkap kerana dituduh menghasut rakyat

    menentang pemerintah (Mavis 1987: 9).

    Di samping itu, ketika berkahwin dengan

    Rahmi, mas kahwinnya ialah sebuah buku. Buku

    tersebut ditulis oleh Hatta sendiri berjudul Alam

    Pikiran Junani. Sehubungan itu, tidak hairanlah

    sekiranya Hatta mengajar anak-anaknya membaca

    dari keci lagi. Pada tahun 1976M, ketika berumur 74

    tahun kesihatan Hatta mulai membimbangkan.

    Namun begitu, beliau tetap bekerja keras untuk

    kepentingan bangsanya. Beliau tetap menulis dan

    memberi kuliah di sekolah perguruan tentang

    kemerdekaan. Pada 14 Mac 1980M, Hatta

    meninggal dunia ketika berumur 78 tahun. Jenazah

    beliau dikebumikan di Tanah Kusir, iaitu tempat

    istirehat Hatta yang terakhir. Pemergian Hatta

    meninggal kesan yang mendalam terhadap rakyat

    Indonesia (Amrin 1981: 152).

    Pendidikan Hatta: Pengkaji mendapati bahawa

    terdapat perbezaan pendapat mengenai pendidikan

    Hatta dalam kalangan keluarganya. Hal ini kerana,

    datuk sebelah bapanya ingin menghantar Hatta

    melanjutkan pelajaran dalam bidang agama di

    Makkah dan Mesir. Manakala nenek sebelah ibunya

    ingin Hatta melanjutkan pelajaran di sekolah umum

    agar beliau dapat mempelajari bahasa Belanda dan

    Perancis (Noer 1990: 20). Oleh kerana sikap nenek

    beliau yang tegas dalam mendidik Hatta, akhirnya

    pendidikan Hatta ditentukan oleh nenek sebelah

    ibunya.

    Hatta memasuki Sekolah Rakyat di Bukittinggi

    selama 2 tahun. Kemudian, beliau melanjutkan

    pelajaran di Sekolah Belanda ELS (Europese Large

    School) di kota yang sama. Pada tahun 1913M,

    beliau telah berpindah ke Padang untuk meneruskan

    ELS bermula kelas ke V dan VII. Di sekolah

    tersebut Hatta mempelajari bahasa Belanda dan

    Perancis yang kemudiannya amat membantu beliau

    untuk meneruskan pelajaran di Belanda. Di samping

    itu, Haji Muhammad Djamil Djambek (1860M-

    1947M) bertanggungjawab untuk mengajar Hatta

    mengaji dan mengajar bahasa Arab, Fiqh, Tafsir,

    Tauhid dan Akidah (Noer 1980: 42).

    Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di

    MULO (Meer Uitgebreid Lager Onderwijs)

    sehingga tamat pada tahun 1919M. Jika diteliti,

    kesedaran politik Hatta bermula di MULO apabila

    beliau mula melibatkan diri dalam JSB (Jong

    Sumateranen Bond). Beliau juga sering mendengar

    ceramah-ceramah politik daripada tokoh-tokoh

    tempatan seperti Sutan Said Ali, iaitu seorang guru

    sekolah Adabiah yang dibuang ke Digul dan Abdul

    Moies dari Sarekat Islam. Setelah lulus dari MULO

    pada tahun 1919M, beliau telah melanjutkan

    pelajaran ke PHS (Prins Hendriks School). Hatta

    merasakan kaedah pembelajaran oleh guru-guru di

    PHS sangat berkesan kerana lebih mengutamakan

    pengembangan dan bukan hafalan.

    Seterusnya, Hatta memasuki Handel Hooge

    School (Sekolah Tinggi Ekonomi) di Belanda.

    Ketika berada di Belanda, beliau menglibatkan diri

    di dalam PNI (Pergerakan Nasional Indonesia).

    Penglibatan beliau dalam PNI telah menjadikan

    organisasi ini semakin kuat pengaruhnya dan

    semakin radikal. Pada bulan Julai 1932M, Hatta

    berjaya menamatkan pelajarannya di Belanda selama

    11 tahun. Pengkaji mendapati bahawa Hatta lambat

    memperolehi ijazah sarjana muda di Belanda adalah

    kerana beliau menukar jurusan ekonomi

    perdagangan kepada ekonomi kenegaraan. Di

    samping itu, kesibukan dalam organisasi turut

    menjadi faktor kelewatan beliau menamatkan

    pembelajarannya di Belanda (Amrin 1981: 10).

    Peranan Hatta dalam Perkembangan Politik

    Indonesia: Penglibatan Hatta dalam dunia politik

    bermula ketika beliau menuntut di Sekolah

    Menengah (MULO) lagi. Beliau amat tertarik

  • PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) V, 9-10 SEPTEMBER 2013

    286

    dengan pergerakan kebangsaan yang dipelopori oleh

    Budi Utomo pada tahun 1908M. Pergerakan tersebut

    telah menyedarkan Hatta tentang kewajipannya

    sebagai anak bangsa untuk menuntut kemerdekaan

    bagi Indonesia. Pada tahun 1916M, Hatta menceburi

    diri di dalam organisasi Jong Sumatranen Bond

    (JSB). Hatta dilantik sebagai bendahari dalam

    organisasi tersebut. Oleh kerana kejujuran dan

    disiplin yang tinggi, beliau kemudiannya diberi

    kepercayaan oleh JSB untuk menjadi pengurus

    kewangan di Padang. Perlantikan tersebut telah

    membuktikan tanggungjawab dan kejujuran beliau

    dalam menguruskan kewangan sehingga berjaya

    menempatkan dirinya sebaris dengan kawan-

    kawannya yang lain di dalam JSB (Noer 1990: 21).

    Hatta memainkan peranan sebagai pengurus

    dengan baik dan bertanggungjawab. Ini terbukti

    apabila Hatta mengambil tahu tentang

    perkembangan masyarakat dan politik di Padang.

    Selain itu, beliau turut melihat pemikiran

    Tjokroaminoto dalam akhbar Utusan India dan Agus

    Salim dalam akhbar Neratja. Pemikiran

    Tjokroaminato dan Agus Salim di dalam akhbar

    telah memberi kesedaran kepada Hatta untuk

    menceburi bidang penulisan (Panji: 68-69). Oleh itu,

    pengkaji mendapati Hatta mula menggunakan

    akhbar sebagai medium untuk menyedarkan rakyat

    Indonesia agar menuntut kemerdekaan. Pada 12

    Januari 1926M, Hatta terpilih menjadi Ketua

    Perhimpunan Indonesia (PI). Karier Hatta semakin

    lama semakin meningkat sehingga beliau menjadi

    wakil Presiden Indonesia setelah Indonesia merdeka.

    Di samping itu, beliau juga terkenal sebagai slah

    seorang pejuang kemerdekaan Indonesia bersama

    dengan Soekarno (Salman 2009: 11-12).

    Perhimpunan Indonesia (PI) di bawah

    pimpinan Hatta bertambah maju dengan semboyan,

    iaitu Indonesia merdeka sekarang juga. Selain itu, PI diakui sebagai pergerakan kebangsaan Indonesia

    yang terkenal di Eropah. Ini kerana Hatta sering kali

    menghadiri kongres-kongres internasional untuk

    bertukar fikiran mengenai cara-cara membebaskan

    diri daripada penjajah (Amrin 1981: 26). Hatta

    berpendapat bahawa demokrasi merupakan satu cara

    untuk mengatasi masalah sistem politik Indonesia.

    Tambahan pula, sistem demokrasi boleh dijadikan

    sebagai manifesto politik untuk memperjuangan

    kemerdekaan dan menentang penjajahan. Di

    samping itu, Hatta berusaha untuk memperkenalkan

    Indonesia di luar negara dengan menghadiri pelbagai

    delegasi yang dianjurkan oleh bangsa yang dijajah

    (Soebadio 1995: 22).

    Menurut Frans (1995), berpendapat bahawa

    sistem demokrasi perlu dipertahankan dalam konteks

    sejarah, sosial, politik dan budaya. Sistem tersebut

    akan berjaya sekiranya pemerintah dan rakyat saling

    bekerjasama, tolenrasi dan saling mempercayai

    antara satu sama lain (Frans 1995: 148). Sekiranya

    perkara ini tidak dipraktikan dalam diri pemerintah

    dan rakyat, maka tidak hairanlah Indonesia tidak

    akan dapat mencapai kemajuan dalam aspek politik,

    ekonomi dan sosial.

    Hatta secara tegas mengkritik kolonialisme dan

    imperialisme yang dilakukan oleh bangsa kulit putih,

    iaitu Belanda terhadap rakyat Indonesia. Tambahan

    pula, beliau mendapati bahawa Belanda menjajah

    Indonesia untuk kepentingan sendiri. Hatta turut

    membantah tindakan Belanda yang menganggap

    bahawa kolonialisme sebagai satu perubahan

    peradaban dari bangsa yang lebih maju

    peradabannya ke bangsa yang mundur. Jika diteliti,

    istilah kulit putih merupakan gaya penulisan yang

    sering digunakan oleh Hatta. Istilah ini merujuk

    kepada Belanda yang menjajah Indonesia ketika itu.

    Di samping itu, Hatta berpendapat bahawa

    politik non-kooperasi merupakan satu-satunya

    strategi perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.

    Hal ini kerana kemerdekaan tidak akan diberikan

    oleh pihak penjajah kepada pihak yang dijajah. Ini

    terbukti apabila berlaku pelanggaran janji oleh

    Belanda untuk memberikan kemerdekaan kepada

    Indonesia pada November 1918M. Hatta juga

    memberikan kesedaran kepada rakyat Indonesia

    tentang kemerdekaan melalui pendidikan. Pengkaji

    mendapati bahawa pendekatan Hatta berbeza dengan

    Soekarno yang lebih memberikan kesedaran dalam

    akhbar. Selain itu, Hatta turut menyampaikan

    kesedaran kemerdekaan tersebut dalam bentuk

    pidato pada 2 September 1948M. Beliau

    menegaskan adalah seperti berikut: (Hatta 1970: 30). Mestikah kita bangsa Indonesia yang memperjuangkan

    kemerdekaan bangsa dan negara kita, hanya harus memilih antara

    pro Rusia dan pro Amerika? Apakah tak ada pendirian yang lain yang harus kita ambil dalam mengejar cita-cita kita? Pemerintah

    berpendapat bahawa pendirian yang harus kita ambil ialah supaya

    kita jangan menjadi objek dalam pertarungan Internasional, melainkan kita harus tetap menjadi subjek yang berhak

    menentukan nasib kita sendiri, berhak memperjuangkan tujuan

    kita sendiri, iaitu Indonesia merdeka seluruhnya.

    Hatta juga menyeru rakyat Indonesia agar tidak

    berputus asa dalam memperjuangkan kemerdekaan.

    Oleh sebab itu, Pendidikan Nasional Indonesia (PNI)

    diwujudkan di Indonesia. Tujuan PNI adalah untuk

    mendidik rakyat dalam hal berpolitik supaya berani

    dan tidak berputus asa dalam menghadapi tentangan

    Belanda. Tambahan pula, PNI juga menerbitkan

    sebuah majalah, iaitu Daulat Rakyat. Tulisan Hatta

    dalam majalah tersebut lebih cenderung kepada

    kedaulatan rakyat. Hatta berpendapat bahawa nasib

    rakyat ditentukan oleh rakyat sendiri (amrin 1981:

    34; Penders 1981: 169).

    Di samping itu, Hatta berusaha untuk

    mengubah sistem ekonomi Indonesia. Ini kerana,

    ekonomi Indonesia terlalu lama dimonopoli oleh

    Belanda. Kesan daripada monopoli tersebut

    menyebabkan rakyat Indonesia hidup di dalam

    kemiskinan, trauma akibat pemerasan dan berputus

    asa untuk maju ke hadapan. Oleh yang demikian,

    Hatta menganjurkan pendidikan tentang koperasi di

    sekolah. Pendedahan mengenai sistem ekonomi

  • PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) V, 9-10 SEPTEMBER 2013

    287

    sedikit sebanyak membantu mengurangkan

    kemiskinan rakyat Indonesia. Setelah menjadi wakil

    presiden, Hatta mengukuhkan ekonomi Indonesia

    dengan mencetuskan istilah ekonomi rakyat dan demokrasi ekonomi. Hal ini kerana, struktur

    ekonomi terdahulu besifat kolonial dan Hatta

    menginginkan ekonomi yang bersifat nasional.

    Selain itu, Hatta berpendapat bahawa koperasi

    merupakan satu bentuk yang ideal untuk

    menggerakkan ekonomi rakyat. Tambahan pula,

    pembangunan koperasi dimulai oleh golongan

    miskin. Jika diteliti, pembangunan koperasi

    menguntungkan semua rakyat Indonesia kerana

    keuntungan sistem tersebut akan dirasai oleh semua.

    Bahkan, sistem koperasi membantu golongan miskin

    untuk memperolehi rumah, pekerjaan dan

    sebagainya. Hatta mengingatkan rakyat Indonesia

    agar bekerjasama dalam merealisasikan sistem

    tersebut. Ini kerana tanpa kerjasama dan tolenrasasi

    sistem tersebut tidak akan berjaya. Walau

    bagaimanapun, sistem ini merupakan sebahagian

    daripada perjuangan politik kaum pergerakan

    nasioanal sampai tercapainya

    kemerdekaan(Mubyarto 1995: 125-127).

    Reaksi Hatta Terhadap Pembaharuan di Turki:

    Peranan Mustafa Kemal dalam mempertahankan

    Turki sebagai negara yang merdeka dan berdaulat

    telah menarik minat Hatta sehingga memberikan

    kesan yang mendalam dalam pemikirannya. Oleh

    sebab itu, tidak hairanlah ketika berada di Eropah,

    Hatta banyak membaca buku-buku mengenai

    perubahan Islam di Turki (Ahmad 1972: 130-131).

    Selain itu, Hatta juga mempunyai kegemaran

    melukis peta bumi. Menurut Hadji, ketika Hatta

    melihat peta negara Turki di dalam surat khabar,

    beliau terus menyalin dan mewarnakan peta tersebut

    (Hadji 1972:5).

    Pada 26 Ogos 1922M, peristiwa yang berlaku

    di Asia kecil telah menggegarkan dunia politik

    Eropah. Ini kerana, tentera Yunani yang mempunyai

    pelbagai peralatan perang dikalahkan oleh Turki. Di

    samping itu, sebahagian daripada tentera Kemal

    berjaya maju ke Bosphorus dan menyeberang ke

    Konstantinople, pada masa itu diduduki oleh pihak

    Berikat. Perkara ini mempunyai kesan penting di

    Britain kerana Perdana Menterinya, iaitu Lloyd

    George terpaksa meletak jawatan. Akhbar Jerman

    telah menyiarkan berita tersebut dengan mendakwa

    Turki menjadi sekutu Jerman dalam Perang Dunia

    Pertama. Walau bagaimanapun, Turki hampir

    berjaya untuk membebaskan dirinya daripada

    cengkaman pihak Berikat dan mendapatkan kembali

    sebahagian wilayah di Eropah yang diduduki oleh

    mereka (Penders 1981:80-81).

    Pengkaji mendapati bahawa pemikiran Hatta

    banyak dikemukakan dalam bentuk pidato dan

    tulisan. Hatta membincangkan perkembangan

    Indonesia tentang cita-cita kebangsaan, penderitaan

    rakyat yang ditindas oleh Belanda dan cara-cara

    untuk mencapai kemerdekaan Indonesia. Hatta

    menulis dalam Daulat Rayat pada 10 September 1933M, tentang sifat-sifat yang diperlukan oleh

    seorang pemimpin. Beliau menekankan bahawa

    seorang pemimpin perlu mempunyai rasa

    tanggungjawab dan mempuyai fizikal serta mental

    yang kuat dalam menjalankan tugasnya. Bahkan,

    sifat-sifat tersebut akan dipuji dan dihormati oleh

    rakyat. Oleh yang demikian, Hatta menunjukkan

    contoh dalam sejarah Turki dimana Mustafa Kemal,

    iaitu seorang pemimpin gerakan kemerdekaan Turki

    pada tahun 1919M sehingga 1922M, telah dipanggil

    "pemberontak" peringkat kebangsaan dan juga

    antarabangsa. Kerajaan Turki di Konstantinople

    menjatuhkan hukuman mati. Walau bagaimanapun,

    apabila beliau berjaya membebaskan Turki dari

    perhambaan dan penghinaan, Kemal dianggap

    sebagai seorang wira negara oleh sultan.(Penders

    1981: 167-168).

    Perang Balkan Pertama yang berlaku pada

    tahun 1912M sehingga 1913M, menyebabkan

    kekalahan dawlah Uthmaniyah. Perkara ini hangat

    dibincangkan di sekolah. Pelajar-pelajar Indonesia

    termasuk Hatta menyokong Turki, manakala pelajar

    kulit putih pula menentang. Akhbar Belanda

    menyiarkan berita kekalahan Turki dengan berjalan

    membawa bendera bulan sabit dan bintang yang

    terikat kepada kaki mereka. Ini menimbulkan

    kebencian yang mendalam dan dianggap sebagai

    satu penghinaan oleh pelajar Indonesia. Di samping

    itu, akhbar Belanda di Padang turut menyalin berita

    kekalahan itu. Kekalahan tersebut menimbulkan

    kesedihan kepada orang-orang Minangkabau kerana

    Turki dianggap sebagai negara Islam yang

    terkemuka dan satu-satunya kerajaan Islam yang

    hebat.

    Menurut Deliar Noer (1972), kejayaan Turki

    amat bermakna terhadap pembangunan di Benua

    Asia, termaksuklah Indonesia. Semangat

    nasionalisme di Asia masih membakar dan Revolusi

    Asia masih belum berakhir. Tambahan pula, Hatta

    merupakan seorang pejuang kemerdekaan yang

    sentiasa mengingati rakyat Indonesia supaya bangkit

    menentang penjajah agar mereka bebas dan

    mencapai kemajuan. Hatta juga mengambil ikhtibar

    daripada perjuangan Mahatma Ghani dalam

    memperjuangkan nasib golongan kulit hitam. Oleh

    yang demikian, Hatta menyeru rakyat Indonesia

    supaya menyemai dalam diri semangat cintakan

    tanah air agar Indonesia mencapai kemerdekaan

    (Noer 1972: 22-24).

    Oleh yang demikian, pengkaji mendapati

    bahawa Hatta menyokong pembaharuan yang

    dilakukan oleh Kemal adalah kerana pemikiran

    beliau berjaya memberi kemajuan kepada Turki.

    Tambahan pula, semangat Hatta yang berkobar-

    kobar untuk mencapai kemerdekaan bagi Indonesia

    menyebabkan beliau berpegang kepada prinsip yang

    sama dengan Kemal, iaitu kedaulatan rakyat perlu

    diutamakan. Walau bagaimanapun, sesetengah tokoh

  • PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) V, 9-10 SEPTEMBER 2013

    288

    nasionalisme menentang pembaharuan yang

    dilakukan oleh Kemal kerana bertentangan dengan

    ajaran Islam. Harun Nasution (1975), menjelaskan

    bahawa Kemal tidak menghilangkan agama Islam

    dari masyarakat Turki tetapi beliau memisahkan

    agama Islam dari aspek politik dan pemerintahan

    (Harun 1975: 157-158).

    Jika diteliti, pembaharuan yang dilakukan oleh

    Kemal dipengaruhi oleh politik Barat. Kemal

    berpegang kepada prinsip bahawa kedaulatan

    terletak ditangan rakyat. Sehubungan itu, Kemal di

    dalam satu pidatonya menyatakan bahawa cara

    hidup di dunia moden perlu kepada perubahan dalam

    diri masyarakat, khususnya pemikiran agar

    masyarakat dapat mempertahankan bangsa dan tanah

    air daripada kemunduran (Harun 1975: 151).

    Manakala Kamarul (2007), berpendapat bahawa

    setiap tokoh nasionalisme membawa pembaharuan

    mengikut aspirasi pembaharuan mereka sendiri.

    Mereka berusaha untuk memberi sumbangan dalam

    memajukan bangsa dan tanah air mereka agar bebas

    daripada penjajahan Barat. Namun begitu, tidak

    semua aspek pembaharuan diambil, sekiranya

    pembaharuan tersebut mendatangkan kebaikan bagi

    sesuatu bangsa ia perlu dicontohi dan sekiranya ia

    bertentangan dengan agama perlu dijadikan

    sempadan (Kamarul 2007: 8-9).

    KESIMPULAN

    Kajian ini membuktikan Hatta merupakan pejuang

    Indonesia yang mementingan kedaulatan rakyat dan

    seorang tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan

    bagi rakyat Indonesia. Melihat bangsa sendiri dijajah

    dan ditindas oleh Belanda menyebabkan Hatta

    mempraktikkan segala pengalaman dan pendidikan

    yang dipelajarinya agar Indonesia mencapai

    kemerdekaan. Kemerdekaan Indonesia diisytiharkan

    pada 17 Ogos 1945M, oleh Sukarno dan Mohammad

    Hatta di Jalan Pegangsaan Timur No. 56 Jakarta.

    Politik yang diperjuangkan oleh Hatta akhirnya

    mencapai tujuan dengan diakui Indonesia sebagai

    negara berdaulat pada tahun 1950M.

    Pemikiran Hatta dalam mencapai kemerdekaan

    Indonesia banyak dipengaruhi oleh Mustafa Kemal.

    Kejayaan yang dicapai oleh Kemal terhadap

    kemajuan Turki telah membakar semangat Hatta

    untuk membebaskan diri dari Belanda. Tambahan

    pula, pengalaman hidup di Belanda dan penglibatan

    dalam bidang politik ketika usia muda membolehkan

    Hatta berfikiran secara terbuka dalam membuat

    keputusan untuk rakyat Indonesia. Di samping itu,

    Hatta sentiasa memikirkan kedaulatan rakyat

    Indonesia dalam membuat keputusan berkaitan

    dengan negara. Hatta juga lantang menyuarakan

    pendapat melalui tulisan dan pidato yang

    disampaikan di sekolah.

    Oleh yang demikian, semangat juang Hatta

    yang tinggi untuk mencapai kemerdekaan Indonesia

    harus dipuji dan dicontohi oleh dunia Islam. Ini

    kerana, semangat Hatta yang berkobar-kobar

    membolehkan Indonesia bebas daripada penjajahan.

    Bahkan, nasib golongan miskin di Indonesia

    dipelihara oleh Hatta dengan sistem perekonomian

    yang diperkenalkannya. Jasa dan sumbangan beliau

    membantu Indonesia mencapai kemerdekaan

    dikenang sehingga ke hari ini.

    RUJUKAN

    Ahmad Subardjo Djoyoadisuryo.1972. Kenang-

    Kenangan akan Saudara Mohammad Hatta. dlm

    Bung Hatta Mengabdi pada Tjija-Tjita

    Perdjoangan Bangsa. Jakarta: Panitia Peringatan

    Ulang Tahun Bung Hatta ke-70.

    Aman. 1999. Pemikiran Hatta tentang Demokrasi,

    Kebangsaan dan Hak Asasi Manusia. Ijazah

    Sarjana Muda, Fakulti Pendidikan Sejarah,

    Universiti Jakarta.

    Amrin Imran. 1981. Mohammad Hatta Pejuang

    Proklamator Pemimpin Manusia Biasa. Jakarta:

    Mutiara Jakarta.

    C.L.M. Penders.1981. Mohammad Hatta Indonesia

    Patriot Memoirs. Singapore: Gunung Agung.

    Deliar Noer. 1990. Mohammad Hatta Biografi

    Politik. Jakarta: Lembaga Penelitian, Pendidikan

    dan Penerangan Ekonomi dan Sosial (LP3ES).

    Deliar Noer. 1980. Gerakan Moderen Islam

    Indonesia 1900-1942. Jakarta: Lembaga

    Penelitian, Pendidikan dan Penerangan Ekonomi

    dan Sosial (LP3ES).

    Deliar Noer. 1972. Mohammad Hatta Potrait of a

    Patriot. Netherlands: Mouton &Co.

    Frans Seda. 1995. Relevansi Pikiran-Pikiran Bung

    Hatta dalam Era Globalisasi. dlm Pemikiran

    Pembangunan Bung Hatta. Jakarta: Pustaka

    LP3ES Indonesia.

    Hadji Soebagijo.1972. Kenang-Kenangan akan

    Saudara Mohammad Hatta. dlm Bung Hatta

    Mengabdi pada Tjija-Tjita Perdjoangan Bangsa.

    Jakarta: Panitia Peringatan Ulang Tahun Bung

    Hatta ke-70.

    Harun Nasution. 1975. Pembaharuan dalam Islam:

    Sejarah pemikiran dan Gerakan. Jakarta: Bulan

    Bintang.

    Kamarul Azmi Jasmi. 2007. Pembaharuan dalam

    Dunia Islam. Johor: Universiti Teknologi

    Malaysia.

    Lembaq Tuah. 1980. Hatta Adik dan Kenangan. dlm

    Meutia Farida Swasono (pnyt).Bung Hatta

    Peribadinya dalam Kenangan. Jakarta: Sinar

    Harapan & Universiti Indonesia.

    Mavis Rose. 1987. Indonesia Free A Political

    Biography of Muhammad Hatta. New York:

    Cornell University Ithaca.

    Mohammad Hatta. 1970. Sekitar Proklamasi 17

    Agustus 1945. Jakarta: Tintamas.

    Mubyarto. 1995. Bung Hatta dan Perekonomian

    Rakyat. dlm Bung Hatta Mengabdi pada Tjija-

  • PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) V, 9-10 SEPTEMBER 2013

    289

    Tjita Perdjoangan Bangsa. Jakarta: Panitia

    Peringatan Ulang Tahun Bung Hatta ke-70.

    Panji Patra Anggaredho. 2008. Pemikiran Ekonomi

    Mohammad Hatta ditinjau dari Perspektif

    Ekonomi Islam. Tesis Sarjana. Fakulti Syariah

    dan Hukum, Universitas Islam Negeri Syarif

    Hidayatullah.

    Salman al-Farizi. 2009. Mohammad Hatta: Biografi

    Singkat 1902-1980. Jakarta: Garasi.

    Soebadio Sastrosatomo. 1995. Pandangan Politik

    Hatta. dlm Pemikiran Pembangunan Bung Hatta.

    Jakarta: Pustaka LP3ES Indonesia.


Top Related