isu perpaduan kaum di

Upload: ariffmus

Post on 13-Oct-2015

45 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Isu Perpaduan Kaum DiMalaysiaUsaha kerajaan untuk mewujudkan sistem amaran konflik perkauman sebagaimana yang dicanangkan tahun lalu mengheret beberapa persepsi terhadap pencapaian negara dalam usaha menyemarakkan perpaduan kaum. Antara persoalan yang terbangkit ialah sejauh manakah usaha kerajaan selama ini berhasil untuk memakmurkan perpaduan kaum, dan apakah pencapaian usaha perpaduan kaum selama ini amat lemah sehingga kerajaan memerlukan suatu sistem indikator bagi mengesan konflik perkauman.Pada junktur sejarah, usaha serius Malaysia ke arah perpaduan kaum dilihat mula bercambah setelah tercetusnya tragedi 13 Mei apabila Majlis Perpaduan Negara dan selaras dengan itu Kementerian Perpaduan Negara ditubuhkan. Namun saya lihat bahawa bibit-bibit usaha ke arah yang sama juga telah dibenihkan dalam Perlembagaan Kemerdekaan 1957 lagi. Dalam konteks ini klausa-klausa dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjurus kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, peruntukan pelaksanaan sekolah jenis kebangsaan dan penggunaan bahasa kaum minoriti, telahpun dimaktubkan melalui Artikel 152 dan 153, yang seringkali kita rujuk sebagai kontrak sosial antara pemimpin-pemimpin parti pelbagai etnik yang dominan di Malaysia.Sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh kajian Furnival (1956), negara-negara Dunia Ketiga pascamerdeka amat teruk dikacaubilaukan oleh penjajah dengan polisi pecah dan perintah. Polisi sedemikian juga amat lumayan diamalkan oleh pihak British ke atas datuk nenek kita dahulu sebelum merdeka kerana pendekatan sedemikian menguntungkan pihak penjajah. Bagi Furnival falsafah sedemikian telah mewujudkan dan mengukuhkan pluralisme atau suatu bentuk masyarakat berbilang kaum yang they mix but do not combine atau dalam bahasa ibunda, mereka bercampur tetapi tidak bersatu. Bagi Furnival falsafah pluralisme sedemikian lebih banyak mendatangkan bencana kepada kestabilan sosial dan politik negara. Menurut Dr Candra Muzaffar, masyarakat kita lebih cenderung kepada hubungan fungsional daripada hubungan empatetik. Makudnya kita sekadar berhubungan di pejabat, di pasar dan di tempat kerja, tetapi kita tidak mahu berkongsi masalah yang melampaui sempadan-sempadan persekitaran tersebut.Sebaliknya kita juga sedar bahawa perpaduan kaum adalah pemboleh ubah penting dalam menentukan kestabilan politik, sosial, malah ekonomi. Perpaduan kaum itu menuntut hubungan empatetik sebagaimana disarankan oleh Dr Chandra. Mana-mana kerajaan jua pastinya berusaha untuk menentukan elemen-elemen penting perpaduan kaum ini digarap supaya pembangunan sosial, ekonomi dan infrastruktur dapat dicapai. Konsep masyarakat majmuk sebagaimana yang dilihat oleh Furnival, memperakui dan membenarkan keperbedaan nilai, norma, budaya dan adat resam sesuatu kaum minoriti. Malah dalam konteks Malaysia, kerajaan amat prihatin dan kaya timbang rasa sehingga toleransi dalam konsep pluralisme itu, tanpa disedari, sedikit-sebanyak telah menjadi peyumbang kepada benih-benih perkauman sesama kita.Pada suatu ektrim tertentu saya melihat bahawa usaha jitu kerajaan untuk memakmurkan dan menyuburkan perpaduan kaum melalui program perpaduan kaum antara masyarakat berbilang etnik telah banyak terganggu dan kadangkala terbantut pada kadar yang tidak sanggup kita perakui. Tanpa niat mencabar Perlembagaan, melalui falsafah yang didokong oleh Artikel 152 (memberi hak kepenggunaan bahasa minoriti), saya melihat seakan-akan wujud konflik dengan falsafah yang didokong oleh Artikel 153 (menekankan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi).Saya juga terlihat Artikel 152 telah menyuburkan kewujudan sekolah-sekolah monoetnik, dan media massa monoetnik yang memberikan tumpuan kepada etnik-etnik yang diperwakilkan melalui bahasa ibunda masing-masing. Malah kita lihat papan tanda iklan kedai-kedai di mana-mana bandar di Malaysia lebih mengutamakan bahasa ibunda masing-masing daripada mengangkat falsafah Artikel 153.Dalam persekitaran yang keterasingan sedemikian saya lihat aliran dan hala tuju perpaduan kaum tidak menggalakkan pertembungan budaya yang dibawa oleh sistem sekolah monoetknik, dan begitu juga media massa monoetnik. Hal ini menjadi semakin rumit apabila institusi politik kita juga di lihat tertegak atas falsafah monoetnik yang turut memakmurkan konsep pluralisme Furnival.Profesor Hamdan Adnan, bekas Pesuruhjaya Suhakam, pernah mencatatkan bahawa daripada tahun 1945 hingga 1969 sejumlah dua puluh dua insiden pergeseran etnik telah berlaku, dengan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai insiden yang paling dahsyat. Saya gusar dan sangsi jika statistik sedemikian menurun kerana kadangkala diri kita sendiri seringkali menutup sebelah mata untuk mendedahkan secara serius isu-isu sedemikian.Misalnya Malaysia tidak sunyi daripada peristiwa yang condong kepada perbalahan etnik seperti peristiwa penentangan Dong Jiao Zhong terhadap dasar kementeraian pendidikan pada tahun 1987 yang membawa kepada pelaksanaan Operasi Lalang, yang menurut beberapa pemerhati politik, hampir sahaja mengulangi peristiwa 13 Mei. Perbalahan pengurusan sebuah kuil Hindu dan masjid di Kampung Rawa, Pulau Pinang pada tahun 1998, tragedi Kampung Medan pada tahun 2001, peristiwa pergaduhan etnik antara peserta PLKN, dan isu mahasiswa UM (malah di semua universiti di Malaysia secara amnya) yang tidak mesra dalam bentuk hubungan silang-etnik, mungkin mengundang kita untuk sama-sama memikirkan tentang kejayaan dasar dan modus operandi perpaduan kaum negara.Mungkin juga pada suatu ekstrim yang lain, peristiwa-peristiwa berkenaan hanya sekadar kes-kes terpinggir yang tidak harus dilihat sebagai perbalahan etnik tetapi sebaliknya hanyalah perbalahan dua pihak yang boleh saja berlaku dalam kandang intraetnik itu sendiri, dan bukan sekadar dalam persepsi silang-etnik. Sebagaimana lunaknya peribahasa Melayu yang mengatakan bahawa sedangkan lidah lagi tergigit apatah lagi situasi iklim kepelbagaian etnik di Malaysia yang bersandar kepada perbezaan bahasa, budaya dan agama sebagai komponen sensitif yang menuntut toleransi tinggi sesama kita.Walau bagaimanapun kita tidak boleh memandang ringan pada perkembangan hubungan ethnik kontemporari sebagaimana terpancar daripada usaha kerajaan untuk menubuhkan sistem amaran konflik perkauman yang akan berpusat di Putrajaya. Nampaknya dengan tertubuhnya sistem sedemikian, kerajaan telah mencari pendekatan adhoc iaitu mencegah perbalahan etnik daripada mencambahkan dan menyuburkan benih-benih hubungan mesra antara kaum. Mungkin persepsi saya salah, kerana sebenarnya kerajaan mengutamakan kedua-duanya sekali.Meninjau realiti politik dan sosial di Malaysia, saya melihat bahawa terdapat elemen-elemen pendekatan yang diambil oleh Malaysia dalam hal membina perpaduan kaum, agak berbeza dengan pendekatan yang dianggap sebagai arus perdana di Barat. Pendekatan yang digunakan oleh kepimpinan Malaysia dalam beberapa aspek berada dalam ekstrim yang bersongsangan berbanding dengan teori perpaduan kaum yang disarankan oleh pemikir-pemikir Barat dan yang diamalkan di sebelah sana.Amerika dan beberapa negara Eropah seperti Britain dan Perancis misalnya menggunakan konsep melting pot atau acuan pelebur dalam pendekatan mereka untuk menyatukan pelbagai etnik minoriti, etnik peribumi, dan etnik dominan dalam negara. Dalam proses peleburan itu budaya etnik minoriti terlebur, tercerna, teradun malah sesetengahnya tersirna dalam budaya majoriti yang dominan. Namun di Malaysia kita lihat konsep acuan pelebur itu tidak wujud, sebaliknya yang wujud ialah konsep salad bowl atau mangkuk sayur-mayur yang tidak meleburkan mana-mana unsur etnik tetapi mempersatukan kepelbagaian warna kulit dan budaya dalam satu persekitaran ynag sama.Dalam konteks yang sama di Britain, sama ada mereka bersetuju atau tidak, juga telah berlaku proses asimilasi budaya yang kadangkala terpaksa mengorbankan malah melenyapkan bahasa dan budaya nenek moyang golongan minoriti tertentu.Bagi sesetengah budayawan, yang menolak model asimilasi, mereka melihat pendekatan ini sebagai satu bentuk penjajahan dalaman kerana dalam proses ini berlaku eksploitasi golongan majoriti terhadap golongan minoriti. Namun dalam banyak contoh di sebelah Barat, golongan majoriti itu adalah juga merupakan pihak pemerintah yang melaksanakan dasar memperlemahkan budaya dan bahasa minoriti atas nama perpaduan kaum.Dalam konteks ini, banyak kerajaan Barat yang mempertegaskan penggunaan bahasa rasmi sebagai satu-satunya bahasa komunikasi tanpa sebarang kompromi, baik dalam urusan perkhidmatan awam, pendidikan asas di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi. Demi mewujudkan perpaduan kaum, ada kerajaan yang mengharamkan penggunaan dan pengajaran bahasa ibunda golongan minoriti sehingga ke tahap menguatkuasakan hukuman ke atas para pelajar yang berkomunikasi antara mereka dalam bahasa minoriti di dalam kawasan dan persekitaran sekolah. Kerajaan Perancis misalnya telah hampir mengharamkan terus penggunaan bahasa Breton, kerajaan British mengharamkan bahasa Welsh dan kerajaan Scotland telah melenyapkan bahasa Gaelic di bumi Scotland. Berbeda dengan Malaysia, kebanyakan kerajaan Barat menolak sama sekali kewujudan sekolah-sekolah monoetnik dan media massa monoetnik.Dalam konteks perpaduan kaum, Malaysia juga menghadapi banyak masalah kerana kepercayaan dan perbezaan agama tidak memungkinkan proses asimilasi berlaku. Asimilasi dalam konteks budaya juga tidak berjalan lancar kerana setiap kaum melihat bahawa budaya dan tamadun bangsa mereka masing-masing lebih dominan daripada yang lain. Orang-orang India melihat keagungan tamadun Indus yang bermula pada 2500 S.M. lebih agung daripada tamadun Melayu yang mereka lihat hanya bermula pada kira-kira lima ratus tahun dahulu (jika Kesultanan Melaka menjadi tanda aras). Kaum Cina pula melihat ketamadunan China yang bermula kira-kira 2000 S.M. di Peking jauh lebih hebat daripada tamadun Melayu. Banyaklah elemen-elemen ketamadunan ini yang boleh mereka rasionalkan untuk menyokong kelangsungan budaya mereka masing-masing.Dengan perkiraan sebegini kadangkala saya lihat bahawa kerajaan juga menjadi serba salah dalam hal menentukan halatuju kebudayaan nasional. Misalnya, pada tahun 1982, Tun Mahathir pernah menyatakan bahawa Budaya Melayu harus menjadi ciri-ciri utama budaya nasional, supaya diterima dan diamalkan oleh semua kaum. Malah terdapat juga yang mahukan budaya Melayu dijadikan satu-satunya elemen budaya nasional (dipetik daripada Munro-Kua 1996).Walau bagaimanapun pada tahun 1995, Tun Mahathir dengan jelas menyatakan bahawa konsep perpaduan kaum tidak lagi bertunjangkan kepada konsep yang berasaskan budaya Melayu. Menurut Tun, Bangsa Malaysia membawa maksud rakyat yang dikenali sebagai membawa identiti Malaysia, menuturkan bahasa Melayu dan meluhurkan Perlembagaan. Untuk merialisasikan bangsa Malaysia, rakyat harus mula menerima kewujudan masing-masing seada-adanya, tanpa mengira kaum dan agama (dipetik daripada Francis Loh Kok Wah dan Khoo Boo Teik 2002). Ertinya rakyat Malaysia harus dilihat sebagai Melayu, Cina dan India sebagimana terpancar melalui amalan budaya masing-masing. Konsep ini condong kepada konsep pluralisme Furnival.Namun pendirian kerajaan yang sedemikian terhadap perpaduan kaum seperti berdiri atas platform yang berbeza pula jika dilihat pada matlamat yang didokong oleh Wawasan 2020, kerana ia diangkat sebagai suatu Bangsa Malaysia tanpa melihat perbedaan warna kulit dan amalan budaya. Secara idealnya tidak akan wujud lagi Melayu, Cina atau India jika Wawasan 2020 direalisasikan. Konsep ini condong pula kepada konsep asimilasi.Jelaslah bahawa di Malaysia pendekatan asimilasi dirujuk semula kerana saya kira pendekatan inilah dilihat sebagai yang terbaik untuk membina perpaduan kaum yang utuh dan tulen, sekurang-kurangnya dalam konteks peleburan bahasa ibunda etnik minoriti. Pendekatan sedemikian telah lama dibuktikan terbaik bagi Malaysia, misalnya dalam konteks golongan Baba Nyonya di Melaka dan juga di Pulau Pinang, golongan India peranakan atau Mami di Pulau Pinang, dan Arab Peranakan telah meleburkan sehingga mengorbankan bahasa nenek moyang mereka. Malah di kalangan golongan Baba Nyonya tercipta bahasa kreol mereka yang tersendiri yang pastinya terbina daripada improvisasi bahasa ibunda golongan majoriti Melayu yang lebih dominan.Amat jelas juga kita lihat bahawa budaya golongan minoriti dalam konteks asimilasi sosial teradun dalam acuan budaya Melayu meskipun secara halusnya terdapat perbezaan di sana-sini. Namun, jika budaya nasional Malaysia boleh diterjemahkan sebagai budaya etnik peribumi Melayu sebagai asasnya, maka saya lihat bahawa budaya Baba Nyonya, India Peranakan dan Arab Peranakan ini telah menjelmakan satu proses perpaduan kaum yang utuh dan tulen.Namun realitinya dalam konteks kontemporari, dasar perpaduan kaum Kerajaan Malaysia amat mesra dan bertoleransi terhadap bahasa etnik minoriti. Penggunaan bahasa etnik minoriti tidak pernah dikenakan hukuman malah tidak pernah dilarang digunakan di mana-mana sekolah di Malaysia, meskipun di sekolah-sekolah kebangsaan. Malah diwujudkan pula sekolah-sekolah jenis kebangsaan dengan memberikan hak mutlak kepada etnik minoriti untuk menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengajaran.Dengan ekstrim pendekatan pluralisme atau konsep mangkuk sayur-mayur seperti di Malaysia kita lihat bahawa dalam situasi tertentu bahasa rasmi menjadi bahasa rojak, malah dicampuradukkan pula dengan bahasa Inggeris mungkin untuk menyuntik ciri-ciri lenggok komunikasi antarabangsa. Bahasa Melayu lisan telor Cina dan telor India menjadi tegar diamalkan bukan sahaja apabila golongan ini berkomunikasi sesama mereka, malah disokong dan disuburkan oleh golongan Melayu sendiri ketika berkomunikasi dengan kaum India dan Cina.Saya percaya bahawa untuk menjaga martabat bahasa rasmi, penggunaannya mesti juga terlaksana dalam situasi yang tidak formal, bukan sekadar dalam kandang situasi yang rasmi dan formal sahaja. Hanya golongan yang amat sensitif dan insaf sahaja yang beria-ia berjuang untuk mempertahankan gaya dan hukum-hukum tatabahasa bahasa rasmi negara, tetapi malangnya golongan ini seperti Tan Sri Profesor Ameritus Dr Awang Had Salleh, Tan Sri Profesor Dr Ismail Hussien, Profesor Dr Nik Safiah Karim, Dr Awang Sariyan, Dr Chandra Muzaffar, YB Dr Rais Yatim, dan SN A Samad Said, (sekadar menyebut beberapa nama) sudah seperti kehilangan golongan pelapis. Adakah ini suatu kepincangan dalam proses perpaduan kaum yang dicita-citakan Malaysia atau ia suatu kelebihan dan kekuatan pendekatan mangkuk sayur-mayur Malaysia?Akhir-akhir ini pula, kita lihat DBP mahu dinobatkan secara legitimasinya sebagai polis bahasa. Saya tidak tahu bagaimana polis ini akan melaksanakan tanggungjawabnya apabila melihat di kebanyakan bandar di Malaysia, papan-papan iklan seringkali mengabaikan penggunaan dan pengutamaan bahasa Melayu. Malah bahasa rojak yang haru-biru dan celaru sudah menjadi identiti yang tegar di papan-papan tanda kedai. Namun pada sudut yang amat jauh dalam hati kecil ini, saya optimistik bahawa DBP akan berjaya walaupun terpaksa mengambil masa yang panjang yang penuh onak dan duri, dan sekali gus menyuburkan perpaduan kaum. Saya juga yakin bahawa kejayaan tersebut haruslah dimulakan dengan semangat kecintaan yang tinggi setiap rakyat terhadap negara ini

PERPADUAN PENTING DALAM MENJAMIN KEHARMONIAN NEGARA

Negara Malaysia sebuah negara yang aman damai disamping penduduknya yang berbilang kaum. Keadaan ini dapat dikekalkan kerana berlakunya toleransi antara kaum utama terbesar dinegara kita iaitu Melayu Cina dan India. Justeru itu, kita seharusnya bersyukur dengan keamanan dan keharmonian di mana kita boleh duduk bersama serta berbincang tanpa ada rasa perbezaan antara satu sama lain. Persefahaman yang telah berjaya dicapai ini perlu dikekalkan supaya tiada perasaan curiga antara kaum kerana ia akan menjejaskan serta merosakkan semangat kejiranan yang telah terjalin sejak sekian lama.Isu-isu yang berkaitan dengan perpaduan kaum kerap dibincangkan dalam surat khabar dan televisyen. Hal ini kerana rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagal kaum dan agama. Terdapat beberapa kebaikan perpaduan kaum kepada masyarakat dan negara. Antara kebaikan perpaduan kaum ialah masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Keadaan masyarakat yang aman dan damai ini membolehkan aktiviti harian berjalan dengan baik. Masyarakat pelbagai kaum boleh melakukan aktiviti keagamaan dengan bebas dan lancar.Selain itu, perpaduan kaum akan menjadikan negara aman dan tenteram di mana keadaan ini membolehkan pihak kerajaan merancang dan melaksanakan pembangunkan dengan lancer untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. Antara manfaat lain perpaduan kaum ialah pihak kerajaan boleh memajukan sektor pelancongan negara. Keadaan negara yang aman dan damai akan menarik lebih ramai pelancong asing datang ke Malaysia. Kehadiran pelancong asing ini akan memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat. Peluang pekerjaan ini akan menjana sumber pendapatan bagi menyara hidup dan meningkatkan taraf ekonomi rakyat.Di samping itu, perpaduan kaum juga akan menarik pelabur asing untuk datang melabur di Malaysia. Pelabur asing yakin untuk melabur kerana negara kita berada dalam keadaan aman dan damai. Kedatangan pelabur asing ini juga akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat dan akan meningkatkan pendapatan negara.Perpaduan kaum juga akan menaikkan imej negara di mata negara lain. Perpaduan kaum membuktikan bahawa pemimpin Malaysia dapat memerintah dengan balk. Terdapat beberapa negara yang ingin mencontohi negara Malaysia dalam mentadbir negara. Selain itu, perpaduan kaum yang terdapat di Malaysia telah membolehkan Malaysia terpilih sebagal pengerusi bagi beberapa pertubuhan antarabangsa.Secara keseluruhanya, pihak kerajaan telah melakukan pelbagai usaha dalam mengekalkan perpaduan kaum di Negara Malaysia tercinta ini. Sehubungan itu,kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya bersyukur dengan keamanan yang berjaya kita kecapi hari ini di samping dapat mengekalkan keharmonian antara kaum yang berbilang bangsa di mana kita hidup dalam sebuah komuniti. Oleh demikian, walaupun ada perbezaan ideologi politik,kita haruslah mengawalnya supaya tidak menjadi tegang serta menjaga hubungan baik sesama masyarakat dengan keharmonian yang telah terbina sekian lama.

Perpaduan Kaum Di Malaysia : Mengharap Sinar Di Hujung TerowongWritten by Muhammad Hisyam Bin Mohamad. Posted inUtusan MalaysiaMalaysia, Truly Asia. Itulah yang diungkapkan oleh Tourism Malaysia untuk menggambarkan satu keistimewaan yang tiada di negara-negara Asia yang lain tetapi ada di Malaysia. Keistimewaan yang dimaksudkan di sini ialah kemampuan tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India di samping kumpulan-kumpulan kaum yang lain hidup bersama dalam suasana yang majmuk di dalam sebuah negara dan mewujudkan kepelbagaian budaya serta adat resam.Rasanya kita semua mengakui bahawa keharmonian kehidupan masyarakat berbilang kaum - yang kemudiannya dijadikan sebagai satu ciri penting kepada industri pelancongan negara - adalah berpunca daripada sikap tolak ansur yang ditunjukkan oleh kaum-kaum yang ada di Malaysia sehingga menjadi kita antara negara yang terkehadapan dalam pembangunan di rantau Asia. Sekira dibandingkan dengan negara-negara di Afrika mahupun Amerika Latin, kita adalah jauh lebih baik.Persoalannya sejauh mana sikap tolak ansur ini dapat bertahan? Ini kerana tolak ansur itu sendiri mencerminkan kewujudan unsur "tidak rela tetapi terpaksa" bagi mewujudkan satu suasana menang-menang yang ada kalanya menyebabkan satu pihak perlu membuat pengorbanan yang lebih besar berbanding pihak yang satu lagi. Justeru perpaduan antara kaum yang ada pada hari ini bukanlah satu bentuk perpaduan yang kukuh yang terbina hasil keluhuran hati dan sikap saling mempercayai antara satu sama lain.Buktinya apabila disebut berkenaan hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera atau Dasar Ekonomi Baru, mahupun peri cadangan pengwujudan satu sistem pendidikan berteraskan kebangsaan, maka ada pihak-pihak yang tertentu akan tidak senang duduk. Hatta perkara-perkara yang hanya ada menyentuh sesuatu kaum atau penganut agama tertentu sahaja, ada kaum / penganut agama lain yang dilihat melatah tanpa sebab yang munasabah.Jadi kita perlu mengakui dan menerima kenyataan bahawa perpaduan kaum di Malaysia yang wujud pada hari ini tertegak di atas asas yang tidak begitu kuat dan mantap. Semuanya berpunca daripada kegagalan kita memahami dan menghormati hak, budaya dan adat resam antara satu sama lain.Ini diburukkan lagi oleh kewujudan kumpulan-kumpulan siasah yang bersifat perkauman dan sikap para pemimpin siasah itu sendiri yang tidak bersungguh-sungguh untuk melihat masyarakat yang ada di Malaysia hidup dalam suasana yang majmuk. Dalam banyak keadaan, para pemimpin siasah sebenarnya lebih banyak merosakkan perpaduan yang sedia dengan menimbulkan pelbagai persoalan yang mencetuskan keresahan kaum. Semuanya dilakukan bagi meraih sokongan kumpulan yang mereka wakili.Selain itu sistem pendidikan kita yang sering bertukar hala tuju dan berbagai-bagai aliran merumitkan lagi usaha membentuk perpaduan kaum. Kita boleh berbangga dengan sistem pendidikan yang kononnya dikatakan antara yang terbaik di kalangan negara sedang membangun, akan tetapi adakah sistem pendidikan kita telah melahirkan satu kelompok pelajar yang mempunyai asas perpaduan kaum yang kukuh?Jawapannya tentulah tidak kerana daripada peringkat rendah hinggalah ke institusi pengajian tinggi, unsur perpaduan bukanlah agenda utama yang tersirat di sebalik sukatan pelajaran yang diajar kepada para pelajar. Pendidikan di Malaysia lebih tertumpu kepada kecemerlangan menjawab soalan peperiksaan.Keadaan yang ada sekarang juga sebenarnya tidak selari dengan matlamat utama Penyata Razak di mana di dalam penyata tersebut antara lain dinyatakan bahawa hasrat utama sistem pendidikan negara ialah menjurus ke arah perpaduan nasional. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana sekolah hanya mengejar kejayaan akademik dan mengenepikan unsur perpaduan.Jadi untuk mengatasi masalah kerapuhan perpaduan ini, pencetus-pencetus kepada masalah tadi perlu dilenyapkan atau diperbaiki agar ia tidak berterusan menjadi asas kepada ketidakstabilan kehidupan bermasyarakat di negara kita.Pertamanya perlu ada persefahaman di antara satu sama lain. Memang tidak dapat dinafikan bahawa adalah sukar untuk membentuk satu persefahaman yang jitu kerana ia ada kalanya akan melibatkan pengorbanan kepentingan oleh satu kaum demi kaum lain. Tapi hakikatnya, dalam satu-satu etnik itu sendiri, masalah perpaduan ada kalanya sukar untuk dibentuk, apatah lagi dalam satu negara yang mempunyai berbilang bangsa seperti Malaysia ini. Apapun kita perlu cuba untuk hidup dalam satu suasana yang majmuk dan cuba menjaga perasaan serta menghormati antara satu sama lain.Di sini ahli-ahli siasah tidak seharusnya melihat permasalahan-pemasalahan tertentu sebagai satu peluang bagi meraih kepentingan siasah masing-masing. Sebaliknya mereka perlu mengutamakan kebajikan dan kemaslahatan umum berbanding kepentingan peribadi. Malah ini sebenarnya yang disyariatkan oleh Islam. Mereka perlu sedar, kerjaya siasah mereka mungkin tidak akan ke mana jika berteraskan kepada pemahaman siasah perkauman yang sempit. Lihat apa yang terjadi kepada Pauline Hanson yang memperjuangkan segelintir hak kaum kulit putih Australia mahupun P.W Bortha yang mengamalkan sistem apartheid di Afrika Selatan. Kerjaya siasah mereka berkesudahan dengan kehinaan.Begitu juga dengan sistem pendidikan negara. Di Malaysia kita ada pelbagai jenis sekolah. Ada sekolah kebangsaan, ada jenis kebangsaaan, ada aliran agama mahupun sekolah antarabangsa. Memang tak salah untuk mempunyai pelbagai jenis sekolah dan memang tak salah kalau kita hendak hantar anak kita bersekolah di mana-mana.Akan tetapi di sini penulis menyokong cadangan mewujudkan satu sistem pendidikan berteraskan kebangsaan. Pada pandangan penulis apabila pelajar berbilang kaum di peringkat awal didedahkan dengan kepelbagaian bangsa dan agama di peringkat rendah lagi, usaha untuk membentuk satu masyarakat berbilang kaum yang berpadu dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Malah unsur ini perlu ditanam seawal yang mungkin kerana apabila dewasa baru hendak disemai dengan benih-benih perpaduan, penulis merasakan ia agak terlambat kerana pada tahap tersebut para pelajar sudah ada tanggapan tersendiri terhadap orang lain.Memang tidak dapat dinafikan perpaduan merupakan pemangkin kepada kemajuan negara. Tanpa unsur perpaduan yang utuh, keharmonian bermasyarakat dalam pelbagai bidang kehidupan tidak dapat dinikmati. Dalam hal ini kita semua tidak mahu pepatah yang mengatakan yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran berlaku ke atas kita. Jika pun kita tidak berjaya mencari satu rumusan yang berkesan kepada masalah ini, memadailah jika kita berusaha memperkukuhkan tahap perpaduan yang sedia ada agar ia tidak terus menjadi lemah atau terhakis