isu 5 -isu penyalahgunaan masa di kalangan guru

Upload: samuelnoeid1436

Post on 08-Oct-2015

66 views

Category:

Documents


2 download

DESCRIPTION

Isu Penyalahgunaan Masa Di Kalangan Guru

TRANSCRIPT

ISU PENYALAHGUNAAN MASA DI KALANGAN GURU

Nama : Tan Ying GuanPada era globalisasi ini, terdapat pelbagai perkembangan dan pembangunan dari pelbagai aspek telah berlaku di sekeliling kita sama ada kita sedar atau tidak. Perkembangan dan pembangunan yang kita lihat hari ini adalah hasil kerjasama ahli masyarakat terutamanya golongan professional. Antara bidang professional yang terlibat adalah keguruan, perubatan,kejuruteraan, perundangan dan lain-lain lagi. Apa yang dimaksudkan dengan professional? Menurut Ornstein dan Levine ( 1993 ), konsep professional merujuk kepada ciri-ciri yang terdapat dalam kalangan ahli suatu profesion. Antara ciri-ciri yang telah dinyatakan adalah cekap dan mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang yang diceburi dan adanya kod etika yang mengawal tingkah laku ahli. Jadi, guru merupakan seseorang yang professional. Ini juga bermakna guru adalah segolongan yang telah mendapat latihan yang khusus, berpengetahuan luas dan pakar dalam bidang yang diceburi serta mempunyai kod etika yang tersendiri.Namun, terdapat pelbagai isu yang timbul dan melanggar etika profesion perguruan. Merujuk kepada ciri-ciri yang dinyatakan, profesion keguruan pada hari ini dilihat semakin goyah kerana terdapat segelintir guru yang sanggup melanggar kod etika keguruan yang telah sedia termaktub. Ini terbukti apabila semakin banyak isu mengenai salah laku guru tersiar di internet ataupun dada-dada akhbar. Ini sudah tentu akan menganggu gugat martabat profesion keguruan sebagai suatu profesion yang mulia dan suci. Di sini, saya memilih untuk membincangkan Masalah Penyalahgunaan Masa sebagai isu yang melanggar etika profesion perguruan kerana masalah ini kerap terjadi di kalangan guru. Di Malaysia, waktu bagi satu sesi persekolahan yang umum adalah dari pukul 7.30 pagi hingga 1.15, iaitu lebih kurang enam jam tidak termasuk aktiviti kokurikulum pada sebelah petang. Sepanjang tempoh ini, murid-murid dan guru terlibat secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Walaubagaimanapun, sejak kebelakangan ini timbul isu penyalahgunaan masa di kalangan guru di sekolah. Memang benar isu penyalahgunaan ini jarang tersiar di media massa kerana ianya lebih menjurus kepada hal ehwal dalaman sekolah, tetapi adalah penting bagi kita untuk membendung isu ini daripada terus menular. Antara contoh penyalahgunaan masa di sekolah adalah guru tidak menepati masa memasuki kelas, guru tidak menyampaikan isi pengajaran dengan bersungguh-sungguh, guru mengajar tidak mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh kementerian, guru tidak menepati masa keluar daripada kelas, guru menggunakan masa di sekolah dengan melakukan kerja yang tidak berkaitan dengan pendidikan misalnya melayari facebook, berchatting, bergosip, melepak di kantin, guru melakukan kerja sambilan di malam hari ( misalnya mengajar tuisyen, berniaga di pasar malam, mengajar dance, membuat persembahan tarian) hingga menjejaskan produktivitinya dalam menyampaikan P&P di siang hari dan banyak lagi. Walaupun saya tidak menjalankan kajian penyelidikan tentang masalah ini tetapi melalui pengamatan saya, adalah wajar masalah ini diberi perhatian. Masalah penyalahgunaan masa mugkin tidak terlalu serius tetapi jika dibiarkan berlanjutan, masalah ini dapat menjejaskan kredibiliti para guru dan merugikan murid. Ramai guru masih tidak menyedari hakikat ini. Jadi, saya berharap agar saya dapat menangani isu ini dalam diri saya agar tugas saya sebagai bakal guru boleh menyumbang satu kebaikan kepada murid-murid saya. Sebelum saya menyentuh isu penyalahgunaan masa di kalangan guru dalam tempoh bertugas, saya ingin merujuk kepadaperaturan-peraturan yang perlu di patuhi guru ketika berada dalam perkhidmatan. Mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/81 yang bertarikh 12 September 1981, semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, kakitangan sekolah dan para pelajar dikehendaki berada di sekolah sekurang-kurangnya lima minit sebelum sekolah bermula. Surat ini juga memberi penekanan terhadap tanggungjawab guru untuk mengamalkan ketepatan masa sepanjang waktu bertugas di sekolah, semasa datang dan balik dari sekolah, ketika memasuki bilik darjah untuk mengajar dan semasa menjalankan sesuatu kegiatan di luar bilik darjah seperti kegiatan kokurikulum. Maksud ketepatan masa juga merangkumi keperluan guru untuk mengikut jadual pengajaran dan tidak dibenarkan meninggalkan kelas ataupun kawasan sekolah semasa tempoh persekolahan.Di samping itu, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh guru berkaitan pematuhan waktu dan masa. Semua guru dikehendaki menandatangani buku kedatangan sebaik sahaja tiba di sekolah dengan mencatatkan nama, masa sampai dan menurunkan tandatangan. Pada zaman yang teknologi kini, ada sekolah yang menggunakan punch card atau menggunakan perisian komputer yang menggunakan pengesanan corak ibu jari sebagai bukti kehadiran. Guru Besar pula diberi kuasa mengizinkan guru meninggalkan kawasan sekolah sekiranya ada hal-hal tertentu dan mereka perlu mengisi buku catatan meninggalkan sekolah. Begitu juga jika terdapat hal yang memerlukan guru meninggalkan bilik darjah, kegiatan dan upacara rasmi sekolah dan aktiviti kokurikulum, guru perlu mendapat kebenaran dari Guru Besar.Selain itu, pada masa senggang iaitu ketika guru tidak menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, guru perlu melaksanakan beberapa perkara seperti memeriksa buku latihan dan kerja rumah murid dengan teliti, menulis buku ringkasan mengajar, menyediakan alatan dan bahan bantu mengajar, menguruskan hal ehwal kelas, menguruskan yuran murid, hal-hal kokurikulum dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh guru pada waktu ini mestilah aktiviti yang memberikan faedah kepada murid-murid. Selain itu, guru juga diberi tanggungjawab untuk menggantikan guru lain untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.Di bawah ini, saya akan menyatakan perkara yang membawa kepada penyalahgunaan masa yang sering dilakukan oleh guru sama ada secara disedari atau tidak disedari. Yang paling utama adalah guru lewat masuk ke dalam kelas. Guru yang mematuhi ketetapan masa tidak menunggu loceng berbunyi untuk berjalan dari sesuatu tempat untuk ke kelas mereka. Mereka akan bergerak awal ke kelas dan kadangkala sanggup pula menunggu waktu guru lain habis di luar kelas. Sekiranya waktu pengajaran adalah berturutan, guru ini tergesa-gesa pergi bergerak dari satu kelas ke kelas berikutnya dengan penuh semangat. Maka, fenomena guru yang lewat masuk ke kelas akan menimbulkan isu penyalahgunaan masa. Bukan itu sahaja, sekiranya berlaku sebarang kemalangan di dalam kelas, guru tersebut harus dipersalahkan. Mencuri masa adalah perbuatan yang tidak wajar bagi seorang guru.Menurut laporan artikel yang saya membaca, guru yang suka lewat masuk kelas biasanya akan memberikan pelbagai alasan seperti terlupa jadual waktu atau tidak ingat. Ada di kalangan guru yang memberikan alasan terlalu banyak kerja yang perlu dibereskan. Malahan kadangkala memberikan alasan kononnya dipanggil guru besar atau pengetua. Awal-awal tahun, ada guru buat-buat sibuk menyiapkan pelbagai borang dan data sehingga meninggalkan kelas. Sekiranya mereka terpaksa menyiapkan tugasan yang amat penting, ini bolehlah dimaafkan. Murid-murid yang datang ke sekolah saban hari mengharapkan ilmu pengetahuan daripada guru.Sejak awal pagi mereka telah bangun meredah kesejukan pagi dengan satu niat yang maha suci untuk belajar. Tetapi apalah malangnya nasib mereka apabila ada segelintir guru yang mengabaikan tugas untuk mencurahkan ilmu. Sebenarnya pelbagai perkara yang tidak diingini boleh berlaku apabila ketiadaan guru di dalam kelas. Pelbagai gejala negatif akan timbul jika tiada kawalan guru.Secara peribadi, penulis laporan artikel ini berpendapat seharusnya gejala lewat masuk kelas dan langsung tidak masuk kelas kerana alasan-alasan yang remeh-temeh sudah tidak boleh diterima lagi. Mengikut pemerhatian saya semasa praktikal dan internship di sekolah, saya juga ternampak fenomena negatif yang sama berlaku dengan apa yang ditulis dalam laporan artikel tersebut. Pada permulaannya, saya tidak berapa mengambil berat tentang masalah ini. Namun ada satu kali murid-murid kelas saya memberitahu bahawa guru kelas mereka setiap kali akan lewat masuk ke kelas. Setiap kali loceng sudah berbunyi dan saya hendak keluar ke kelas, mereka akan meminta saya jangan keluar dulu dan meneruskan pengajaran dan pembelajaran saya lagi. Saya berasa amat aneh, dan tidak berapa percaya dengan apa yang mereka kata. Mereka panggil saya membuat satu eksperimen, tengok berapa lama guru kelas itu masuk ke kelas. Memang, guru itu telah pun datang selepas 20minit kemudian dengan langkah perlahan-lahan. Apabila dia nampak saya masih dalam kelas, dia berterima kasih kepada saya kerana membantunya mengawal kelas. Ada satu kali lagi, dia memesan saya mencari dia di kelas pada waktu akhir untuk mengambil barang dengannya di bilik seni. Saya sudah lewat 10minit pergi mencari dia di kelas itu, tetapi apabila saya sampai sana, kelas itu tiada guru, murid-murid membuat bising, jalan sana sini. Selepas itu, rakan sejawat saya memberitahu saya bahawa guru ini ada di kantin. Saya pun mencari dia di kantin. Apabila saya nampak dia, dia sedang melengan-lengan serta berbual-bual dengan penolong pengetua sambil memilih lauk pauk di sana. Saya kemudian menanyakannya kenapa puan tidak ada di kelas, bukannya puan pesan saya cari puan? Dia hanya senyum sahaja dan kemudian kami berdua mencari bahan hiasan di bilik seni. Dia pun mencari bersama-sama dengan saya sehingga loceng berbunyi dan waktunya pun sudah habis. Akhirnya, dia tidak masuk ke kelas. Ini sudah bukan lewat ke kelas, ini panggil tidak masuk ke kelas kerana perkara yang remeh temeh. Selain itu, Penolong kanan pengetua, ketua kurikulum ataupun guru akan sering memesan kami untuk menggantikan kelas mereka . Kadang-kala alasan mereka adalah bagi kami membuat kajian tindakan dan sebenarnya kami juga perlu waktu yang extra bagi membuat kajian tindakan dengan murid-murid. Jadi, ini merupakan satu situasi dipanggil win win. Bukan ini sahaja, guru yang tidak masuk kelas kerana terdapat pelbagai kertas kerja kena buat, bermesyuarat, berkhusus, pergi hospital memeriksa badan kerana ada appointment dengan doctor dan sebagainya. Masalah ini perlu dititikberatkan sebelum ia menjadi parah. Kegagalan guru mematuhi ketetapan masa akan menimbulkan beberapa kesan. Perkara yang ingin dibincangkan di sini ialah bukan hanya melihat kesan kepada guru tetapi juga kesan kepada murid itu sendiri memandangkan isu penyalahgunaan masa ini sebenarnya lebih banyak merugikan mereka. Beberapa kesan yang dapat dilihat ialah:a)Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran tidak maksimum akibat kurangnya kualiti dan produktiviti.Apakah yang dimaksudkan oleh kualiti dan produktiviti? MS ISO 9000 mendefinisikan kualiti sebagai keseluruhan ciri-ciri sesuatu entiti iaitu produk dan perkhidmatan yang dapat memenuhi kehendak pelanggan yang dinyatakan dan tersirat. Dalam perkhidmatan pendidikan, guru hendaklah menyediakan perkhidmatan yang dapat memenuhi kehendak pelanggan iaitu murid dan ibu bapa. MS ISO 9000 mula digunapakai seperti yang tercatat di dalam Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 2/1996 : Garis Panduan Bagi Melaksanakan MS ISO 9000 dalam Perkhidmatan Awam. Selain itu, kakitangan awam juga boleh merujuk kepada Surat Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Bil 2/2002 : Garis Panduan bagi Melaksanakan MS ISO 9000:2000 Dalam Perkhidmatan Awam. Kualiti menyentuh tentang kefahaman kehendak dan pengharapan pelanggan. Ini menghendaki guru menunjukkan kemampuan mereka dalam merekabentuk perkhidmatan seperti yang diperlukan dan diharapkan murid dan ibu bapa.Apakah pula yang dimaksudkan oleh produktiviti? Merujuk kepada Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 6 Tahun 1991 : Panduan Mengenai Peningkatan Produktiviti dalam Perkhidmatan Awam, produktiviti boleh didefinisikan sebagai nilai atau kuantiti output yang dapat dihasilkan oleh satu unit input. Maka, output merujuk kepada keluaran atau perkhidmatan yang dihasilkan oleh sesebuah organisasi. Dalam konteks sekolah sebagai organisasi, input perujuk kepada ilmu dan kemahiran yang diberikan kepada murid manakala output merujuk kepada tingkahlaku dan pengadaptasian ilmu dan kemahiran oleh murid itu sendiri. Mengapa pula kualiti dan produktiviti adalah berkaitan dengan penyalahgunaan masa? Jika kita merujuk kepada Pekeliling tadi, Kerajaan Malaysia ada menggariskan beberapa panduan untuk meningkatkan produktiviti. Salah satu cara untuk meningkatkan kualiti ialah pihak pentadbiran sekolah mengambil langkah-langkah bagi mengukuhkan faktor-faktor yang mempengaruhi produktiviti. Faktor-faktor tersebut ialah:i. Tenaga manusia (guru-guru)ii. Sistem dan proseduriii. Struktur organisasiv. Gaya pengurusanv. Persekitaran kerjavi. Teknologivii. Bahan-bahanviii. Kelengkapan modalKesemua faktor di atas menyumbang kepada produktiviti Negara. Maka tidak syak lagi jika penyalahgunaan masa guru akan menyebabkan kurangnya produktiviti kerana guru tidak bersikap positif, berada dalam persekitaran yang kurang kondusif, tidak menyediakan atau menggunakan teknologi dalam pengajaran, tidak menyediakan bahan dan alatan yang bersesuaian dan tidak melakukan refleksi pengajaran untukmengenalpasti dan menyelesaikan masalah murid. Penyalahgunaan masa menyebabkan guru tidak membuat persediaan rapi dalam menentukan dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.b) Kepimpinan Melalui Teladan tidak diaplikasikan.Guru adalah role model murid. Maka, guru perlu menghayati slogan kepimpinan melalui teladan. Ini disebabkan oleh murid suka meniru perlakuan, memek muka, pakaian malah personaliti guru tersebut.Kepimpinan Melalui Teladan merupakan slogan yang dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pada 19 Mac 1983. Slogan ini diwujudkan bagi menanam dan memupuk sifat kepimpinan yang berkesan bagi dicontohi dan diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat. Selain itu, ia juga dapat menerap nilai kebertanggungjawab dan etika murni di kalangan kakitangan awam.Guru merupakan antara orang yang paling kerap mendampingi murid selain ibu, bapa dan ahli keluarga mereka. Malah, kebanyakan murid sering mendengar kata guru berbanding dengan ibu dan bapa mereka sendiri. Malah, mereka juga kerap bercerita kepada ibu bapa tentang kehebatan guru. Tetapi sekiranya guru mereka sering menghabiskan waktunya dengan perkara yang tidak berfaedah, apakah pula pandangan dan cerita yang akan didengari oleh ibu bapa mereka? Tentunya ini akan menimbulkan pandangan yang negatif dari pihak ibu bapa dan mengundang tanggapan yang negatif dari murid-murid juga.c)Penambahbaikan dalam kaedah dan strategi pengajaran tidak berlaku.Sekiranya guru tidak menggunakan masa terluang kita untuk membuat kajian tindakan, guru tidak dapat membuat penambahbaikan terhadap teknik pengajaran mereka. Kajian tindakan ialah kajian yang dibuat berdasarkan sesuatu situasi iaitu mendiagnos sesuatu masalah dan cuba mengatasi dalam konteks itu. Ada baiknya jika guru terus menulis refleksi pengajaran selepas sesi pembelajaran dilaksanakan atau selepas sesuatu tajuk diajar. Selepas itu, guru tersebut hendaklah membuat kajian tindakan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Guru boleh menggunakan masa senggang di antara waktu pengajaran atau sewaktu sesi persekolahan untuk mencari jalan penyelesaian. Guru boleh merujuk artikel akademik seperti jurnal pendidikan, bertanya kepada guru lain, merujuk kepada guru cemerlang dan jurulatih utama ataupun merujuk kepada kajian penyelidikan yang pernah dilakukan sebelum ini.Menurut Stenhouse (1975), penyelidikan tindakan bukan sahaja menyumbang kepada pengajaran dan pembelajaran tetapi kepada teori pendidikan dan pengajaran yang boleh diakses oleh guru-guru lain. Maka, jika penyelidikan tindakan dijalankan, guru boleh berkongsi maklumat dengan guru lain untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Semua perkara ini boleh dilakukan pada waktu persekolahan sekiranya guru tidak berhasrat untuk menyalahgunakan masa.d)Tidak maju akibat tidak positif dan tiada matlamat hidup.Terdapat segelintir guru yang tidak mempunyai matlamat hidup. Mereka tiada fokus tertentu dalam kerjaya mereka. Maka, mereka tidak tahu untuk memenuhi masa di sekolah mereka. Sebagai guru, seharusnya mereka menetapkan satu atau lebih matlamat untuk dicapai. Contohnya, Cikgu Hadi mempunyai matlamat untuk menjadi guru cemerlang Matematik dalam tempoh 2 hingga 3 tahun lagi. Untuk mencapai matlamatnya, Cikgu Hadi merancang untuk mendokumentasikan aktiviti pengajaran dan pembelajarannya sebelum memohon jawatan tersebut. Oleh itu, Cikgu Hadi akan menggunakan masa senggang di sekolah untuk menyediakan dokumentasi tersebut.Guru juga hendaklah lebih positif dalam menentukan hala tujunya dalam kerjaya. Sebagai guru yang positif, mereka sentiasa berfikir untuk memenuhi keperluan murid. Jadi, masa terluang tersebut akan digunakan untuk memikirkan sesuatu yang dapat meningkatkan motivasi intrinsik agar dapat melakukan tugasnya dengan lebih ikhlas dan bersungguh-sungguh. Terdapat beberapa ciri guru yang berfikiran positif iaitu optimis, bersemangat, keberanian, keyakinan, keazaman, kesabaran, ketenangan dan fokus. Sekiranya seorang guru itu mempunyai matlamat kerjaya dan bersikap positif, maka isu penyalahgunaan masa ini dapat dikurangkan. Merujuk kepada permasalahan yang dinyatakan, terdapat dua punca utama kenapa masalah ini boleh berlaku iaitu individu dan pentadbir. Pertama, individu dalam konteks ini iaitu guru mempunyai sikap malas dan tidak ambil peduli, kurang komitmen dalam kerja, kurang nilai dalam kehidupan, dan etika kerja yang lemah. Apabila sikap ini wujud, maka individu tersebut mengambil ringan tugas yang telah diamanahkan sehinggalah tiada lagi rasa tanggungjawab untuk bersungguh-sungguh dalam mendidik anak bangsa dan apa yang penting bagi mereka hanyalah gaji yang bakal diterima pada setiap bulan. Punca seterusnya adalah daripada pihak pentadbir. Penguatkuasaan yang lemah dan kurangnya pemantauan yang dilakukan telah mendorong kepada berlakunya permasalahan ini. Apabila tiada pemantauan dan penguatkuasaan juga lemah, maka guru-guru menjadi lebih berani untuk menyalahgunakan masa kerana mereka tidak perlu risau akan akibat daripada tindakan mereka. Masalah ini jika tidak dibendung akan mendatangkan kesan yang amat buruk kepada banyak pihak terutamanya kepada guru sebagai ahli professional dan murid-murid. Antara kesan yang boleh dilihat daripada permasalahn ini adalah merosotnya prestasi kerja guru dan pencapaian pelajar di sekolah. Masyarakat juga akan memandang sinis akan profesion keguruan dan tidak yakin dengan kebolehan guru dalam mendidik anak-anak mereka. Menyedari akan kesan yang akan menimpa jika permasalahan ini tidak dibendung, maka semua pihak termasuk pihak pentadbir, rakan sejawat, dan individu itu sendiri perlu memainkan peranan bagi memastikan permasalahn ini tidak terus menular dan menjari semakin parah dan teruk.Isu penyalahgunaan masa di kalangan guru-guru dapat diselesaikan menggunakan Teori Pilihan dan Terapi Realiti. Namun, persoalan utama yang perlu dilalui oleh guru ialah adakah mereka mahu mengubah tingkahlaku mereka kepada sikap yang lebih baik?Teori Pilihan membincangkan bagaimana individu itu bertingkahlaku dan mengapa mereka bertingkahlaku berdasarkan perspektif kawalan luaran, psikologi kawalan dalaman, dunia kualiti, keperluan masa, dunia pengertian, dunia sebenar, nilai dan pengetahuan, skala perimbangan, tingkahlaku keseluruhan, sistem tingkahlaku, identiti berjaya dan identiti gagal. Merujuk kepada teori ini, guru seharusnya mengkaji semula tingkahlaku mereka bagi mengenalpasti mengapa mereka menyalahgunakan masa mereka berdasarkan kepada faktor-faktor yang dinyatakan tadi. Guru hendaklah menetapkan kehendak kualiti yang ingin dicapai. Dalam kes ini, kehendak kualiti tersebut ialah mengisi masa senggang mereka di sekolah bagi mengelakkan masalah penyalahgunaan masa. Bagi memenuhi identiti berjaya pula, mereka akan mengalami rasa cinta terhadap kerjaya mereka, rasa dihargai dan keperluan-keperluan psikologikalnya yang lain. Namun begitu, kadangkala guru perlu melawan identiti gagal mereka seperti personaliti tidak seimbang, kurang keyakinan diri dan cepat putus asa. Sebagai seorang guru juga, mereka bertanggungjawab dalam memilih keputusan dalam hidup mereka. Setiap pilihan yang mereka buat adalah berdasarkan kepada keperluan asas mereka. Namun harus diingatkan, bahawa setiap pilihan itu mempunyai beberapa risiko tertentu. Maka guru seharusnya memilih tingkahlaku yang efektif sahaja agar dapat membentuk identiti berjaya.Terapi realiti pula adalah bagaimana kita dapat membantu diri kita dan orang lain. Terdapat empat proses dalam melaksanakan Terapi Realiti ini iaituW(wants), D(directions),E(evaluation) dan P(planning).Proses menyelesaikan isu penyalahgunaan masa ini dapat dilakukan seperti di bawah:a)Wants( keperluan, kehendak dan persepsi )Dibawah proses ini, guru hendaklah menentukan matlamat mereka dalam kehidupan. Matlamat utama mereka ialah menyelesaikan masalah penyalahgunaan masa. Masalah ini perlu dilihat dalam skop yang lebih kecil. Maka guru hendaklah menggariskan beberapa matlamat yang lebih kecil. Matlamat-matlamat tersebut ialah, menentukan aktiviti pada masa senggang, menepati masa apabila masuk ke dalam kelas, mendahulukan perkara yang lebih penting dan menentukan kaedah pengajaran terbaik yang perlu dilaksanakan di dalam kelas. Semua matlamat ini hendaklah ditulis dengan jelas di atas satu kertas yang mudah menjadi rujukan guru tersebut.

b)Directions(terarah dan lakukan )Dalam proses ini pula, pengalaman masa lampau perlu dilihat untuk membentuk masa hadapan. Beberapa perkara perlu dilihat semasa proses ini berlaku. Dari segi perasaan, guru hendaklah benar-benar cuba untuk memfokuskan diri mereka untuk mencapai matlamat tersebut. Ini bermakna mereka perlu menyediakan diri mereka dari segi emosi agar matlamat tersebut dapat dicapai. Dari segi emosi pula, sokongan keluarga tidak kurang pentingnya. Selain itu, guru juga hendaklah mempunyai pemikiran yang positif dan sentiasa yakin bahawa matlamat mereka akan tercapai.c)Evaluation( penilaian )Guru hendaklah memikirkan bahawa adakah matlamat mereka akan tercapai ataupun tidak tercapai. Oleh sebab itu, guru hendaklah memikirkan beberapa halangan yang akan dihadapi oleh mereka untuk mencapai matlamat yang diingini. Halangan yang paling besar adalah datangnya dari diri mereka sendiri. Dalam kes ini, motivasi intrinsik memainkan peranan yang paling penting untuk menyelesaikan masalah mereka. Maka guru perlu memikirkan langkah yang terbaik untuk meningkatkan motivasi intrinsik mereka. Halangan yang seterusnya datang dari keluarga guru itu sendiri. Perkara yang baik perlu mendapat sokongan dari keluarga sama ada pasangan, anak-anak mahupun ibu bapa. Sokongan dari pentadbir dan rakan sejawat tidak kurang pentingnya.d)Plan(perancangan)Setelah membuat penilaian dan menyenaraikan matlamat, guru perlulah membuat perancangan tindakan yang ingin dilakukan. Senarai yang dibuat perlulah mendahulukan perkara yang lebih penting dulu. Pada masa yang sama, guru perlulah sentiasa menanamkan azam yang kuat untuk melakukan aktiviti tersebut demi mengatasi masalah penyalahgunaan masa. Guru hendaklah melakukan muhasabah diri agar dapat memikirkan perkara yang dilakukan adalah adalah kea rah kebaikan. Antara aktiviti yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini ialah:a.Masuk ke kelas awal dan keluar tepat pada masanya.b.Melakukan reflesi pengajaran dan pembelajaran.c.Berbincang dengan Ketua Panitia dan rakan-rakan sejawat mengenai hal-hal pengajaran dan pembelajaran.d.Meneroka maklumat baru dari internet atau jurnal-jurnal pendidikan.e.Menjalankan penyelidikan tindakan.f.Memberikan latihan yang mencukupi dan memenuhi standard kecukupan. Selain itu, pihak pentadbir perlulah sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa terhadap prestasi kerja guru-guru di sekolah. Dengan adanya pemantauan secara berterusan, maka peluang guru untuk menyalahgunakan masa di sekolah adalah terbatas. Seterusnya, pihak pentadbir juga perlu berusaha mengenal pasti dan bersedia memberikan khidmat nasihat kepada guru yang bermasalah. Jika pihak pentadbir tidak mampu, maka bolehlah merujuk guru tersebut kepada kaunselor. Akhirnya, pihak pentadbir boleh mengambil tindakan tegas dengan memberikan amaran dan mengenakan tindakan tatatertib kepada guru yang terlibat jika masalah yang dilakukan adalah serius dan berulang. Dengan cara ini, guru-guru akan sedar kesilapan diri dan tidak akan mengulanginya lagi. Rakan sejawat juga perlu memainkan peranan dalam menangani masalah ini. Rakan sejawat perlulah menjadi teladan kepada rakan-rakan yang bermasalah memberikan nasihat dan dorongan supaya guru yang terlibat dalam penyalahgunaan masa itu dapat mengubah dirinya. Selain itu, individu yang terlibat juga perlu memainkan peranan dalam usaha untuk berubah menjadi lebih baik. Antara cara yang boleh dilakukan adalah dengan cara sentiasa muhasabah diri tentang apa yang telah dilakukan. Dengan cara ini, segala kekuatan dan kelemahan dapat dikenalpasti dan diperbaiki. Ia juga akan menimbulkan kesedaran untuk berusaha menjadi lebih baik. Seterusnya, guru perlu bijak dalam memilih kawan yang mampu menjadi teladan agar diri akan lebih terarah untuk mencontohi sifat-sifat yang ideal sebagai seorang guru. Akhir sekali, guru juga boleh menyediakan log aktiviti supaya tugas dapat dilaksanakan dengan lebih terancang dan tiada pembaziran masa.Masa adalah sangat berharga kepada manusia. Di dalam al-Quran, Surah Al-Asr, Allah menerangkan kepada manusia tentang kepentingan masa. Demi masa, sesungguhnya manusia kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Mereka menyeru kepada kebenaran dan menyeru kepada kesabaran. Maka, di dalam Islam itu sendiri telah menyatakan bahawa manusia yang tidak menggunakan masa dengan betul adalah orang-orang yang kerugian. Tugas guru adalah sebagai penyampai ilmu pengetahuan. Sekiranya kita tidak cuba menerapkan kepentingan masa kepada murid, maka, kita sebagai guru boleh dikatakan tidak berjaya memberi satu ilmu yang amat berguna. Pepatah Arab ada menyebut bahawa masa adalah ibarat pedang. Jika kita tidak menggunakan untuk memotong, ia akan memotong kita. Pepatah Cina pula menyebut bahawa semua bunga yang bakal berkembang pada hari esok adalah benih pada hari ini. Sebagai guru, kita hendaklah menghargai masa yang diberikan kepada kita terutamanya dalam waktu persekolahan. Ada juga yang mengatakan bahawa bertangguh itu pencuri masa. Orang yang tidak tahu menggunakan masa pula dikatakan orang yang mati. Kesemua kata-kata hikmat di atas menunjukkan kepentingan masa yang perlu dihayati insan bernama guru.Secara keseluruhannya, guru perlu memahami bahawa penyalahgunaan masa adalah melanggar etika profession perguruan. Bukan itu sahaja, penyalahgunaan masa juga melibatkan hokum agama yang mengundang kepada rezeki yang halal. Sebagai guru, seharusnya kita menggunakan masa yang diperuntukkan kepada kita dengan perkara-perkara yang dapat member faedah yang berguna untuk pelajar-pelajar kita. Sebagai guru, kesedaran terhadap penyalahgunaan masa sangat penting dan perlu diberi perhatian. Justeru seluruh warga pendidik perlu memberikan komitmen yang tinggi untuk membentuk murid-murid ini menjadi warganegara yang berguna, berilmu, berdisiplin dan berketrampilan.

http://gemeangel889.blogspot.com/2012/09/isu-penyalahgunaan-masa-di-kalangan-guru.html