bmm3163 tajuk 1.pdf

Upload: nazri-musa

Post on 28-Feb-2018

361 views

Category:

Documents


4 download

TRANSCRIPT

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    1/23

    PENGENALAN

    Secara umumnya, kita akan terhibur apabila mendengar lagu yang merdu danindah bahasanya. Selain itu, kita juga akan tersentak apabila menonton aksimendebarkan dalam filem atau drama. Kita juga boleh menangis apabilamembaca kisah sedih dalam novel. Malah, kita turut akan berasa marahapabila watak jahat dalam cerpen yang dibaca berlaku zalim dan tidak

    berperikemanusiaan.

    Sedarkah anda bahawa lirik lagu, skrip filem, drama dan novel yangdiperkatakan tadi tergolong dalam karya sastera? Mari kita rujuk Rajah 1.1

    berikut.

    TTooppiikk

    11 Pengenalan

    KesusasteraanMelayu

    HASIL PEMBELAJARAN

    Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat:

    1. Menyatakan maksud istilah kesusasteraan;

    2. Mengenal pasti fungsi kesusasteraan;

    3. Mengenal pasti pengaruh yang terdapat dalam KesusasteraanMelayu; dan

    4. Menjelaskan bagaimana genre dibahagikan dalam KesusasteraanMelayu.

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    2/23

    TOPIK 1 PENGENALAN KESUSASTERAAN MELAYU2

    Rajah 1.1: Empat jenis karya sastera

    Oleh itu, topik pertama ini akan memperkenalkan anda dengan duniakesusasteraan melalui definisi, fungsi, ciri dan pengaruh serta genre dalam

    bidang ini.

    DEFINISI KESUSASTERAAN

    Terdapat pelbagai definisi yang diberikan untuk memberi makna kepada istilahkesusasteraan. Hashim Awang (1984) menyimpulkan erti kesusasteraansebagai ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Pemberian maksud iniadalah berdasarkan etimologi. Apakah yang dimaksudkan dengan etimologi?Etimologi bermakna kajian asal usul bahasa.

    Oleh itu, berdasarkan etimologi, kesusasteraan adalah berasal daripadacantuman kata su dan sastra dalam bahasa Sanskrit. Kemudian perkataan inidiberi apitan ke...an untuk membentuk kata nama. Berikut ialah maksudperkataan yang membentuk istilah kesusasteraan:

    (a) Su = baik, indah, cantik, seni dan berguna.

    (b) Sastra = karya (lisan/bertulis) atau buku.

    (c) Susastra = karya yang indah dan berguna.

    (d) Kesusasteraan = semua bentuk karya bernilai seni dan berguna.

    1.1

    Pernahkah anda terfikir, bagaimanakah keadaan dunia tanpa lagu,filem, drama dan novel? Adakah karya sastera memberi kesan kepadaperkembangan diri anda? Bincangkan.

    AKTIVITI 1.1

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    3/23

    TOPIK 1 PENGENALAN KESUSASTERAAN MELAYU 3

    Berdasarkan huraian tadi, dapatlah disimpulkan bahawa kesusasteraanmerupakan kesemua hasil seni yang disampaikan melalui bahasa dan iaditujukan kepada khalayak. Siapakah khalayak? Khalayak bermaksud pembaca

    bagi karya yang bertulis atau penonton drama. Oleh itu, istilah kesusasteraanMelayu merujuk kepada karya kesusasteraan yang ditulis dalam bahasa Melayu.

    FUNGSI KESUSASTERAAN

    Secara umumnya, semua karya kesusasteraan yang dihasilkan oleh pengarangadalah untuk bacaan pembaca atau masyarakat. Karya dan pembaca salingmemerlukan dan melengkapi. Namun, ada juga karya yang tidak mendapatsambutan pembaca dan ia dianggap sebagai tidak berjaya. Oleh itu, dapatdisimpulkan bahawa kumpulan sasaran sesebuah karya ialah khalayak.Sehubungan itu, seseorang pengarang perlu menetapkan tujuan sebelummenulis. Di sinilah bermulanya penelitian tentang peranan dan fungsikesusasteraan kepada khalayak.

    Fungsi kesusasteraan boleh dilihat dari dua sudut iaitu fungsi kepada khalayakdan fungsi kepada pengarang(Rajah 1.2).

    Rajah 1.2: Dua fungsi karya sastera

    1.2

    Berdasarkan pernyataan dalam Subtopik 1.1 tadi, jelaskan apa yangdimaksudkan dengan kesusasteraan dengan perkataan anda sendiri.

    AKTIVITI 1.2

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    4/23

    4

    s

    pilp

    dbkd

    dkd

    TO

    ari sudut pbagai alatengajar at

    engetahuan.mu tentangengetahuanemainkan p

    pakah yangan melatih.erkembangemahuan daididik.

    ari kita lihaan mendidihalayak diajilaknati Allengerikan ia

    Sumbe

    IK 1 PENGE

    ertama, funyang digunu disebut

    Dengan ilmsesuatu y

    idak berertiranannya.

    dimaksudkenjagaan damenjadi aakhirnya

    satu contohkhalayak

    ar supaya tih. Kesan ditu Si Tangg

    er: http://blo

    ALAN KESUS

    si sasteraakan untukjuga didak

    yang dipeng sebelu

    jika tidak di

    n dengan mn latihan akat, membeenggerakka

    karya sasteriaitu ceritadak mendern akibat dng disumpa

    Rajah 1 3: Ba-misteri.blogs

    STERAAN ME

    epada khalmengajar, m

    ik ialah s

    lajari dan d ini tidakmalkan. Pa

    endidik? Men mewujudtuk sifatperbuatan

    terkenal yaNakhoda Thaka kepadripada memenjadi ba

    u Si Tangganpot.com/2008

    LAYU

    yak atau pmendidik dtu proses

    fahami, mamereka kea peringkat

    ndidik berman kebiasaakeperibadiaelaras deng

    g berfungsinggang. D ibu keranaderhaka keu (Rajah 1.3).

    /04/si-tangga

    embaca adaan menghibumenyampai

    usia mendaahui. Namini, pendidi

    aksud menj. Kemudian,), melahir

    n perkara ya

    ntuk mengalam cerita i perbuatanada ibu a

    g.html

    ahur.an

    atn,an

    gaia

    anng

    jarni,ituat

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    5/23

    TOPIK 1 PENGENALAN KESUSASTERAAN MELAYU 5

    Walau bagaimanapun, pengetahuan tentang perkara ini tidak bergunaseandainya ia tidak dipraktikkan atau diyakini. Ini menunjukkan betapapentingnya pendidikan untuk menangani pelbagai masalah sosial kerana secara

    umumnya, orang yang tidak terdidik dengan baik cenderung melakukanperbuatan yang salah.

    Seperti yang telah dinyatakan tadi, karya sastera juga berfungsi untuk memberihiburan. Tujuannya adalah untuk menenangkan atau menggirangkan hatikhalayak.

    Oleh sebab itu, dapatlah disimpulkan bahawa kesusasteraan memberipengetahuan, menyemai nilai-nilai murni untuk diteladani dan dipraktikkandalam kehidupan seharian, memberi ketenangan dan merehatkan fikiran setelahpenat bekerja, serta memberi kepuasan setelah menikmati keindahan karya seni.

    Dari sudut fungsi sastera kepada pengarang pula, sastera berfungsi sebagai alatuntuk mendapatkan kepuasan serta keseronokan, memperbaiki danmenajamkan pemikirannya, berbakti kepada masyarakat serta menyarakehidupannya.

    PENGARUH DALAM KESUSASTERAANMELAYU

    Tahukah anda bahawa kepelbagaian karya dalam Kesusasteraan Melayumenampakkan perbezaan dari segi bentuk dan isi? Berdasarkan aspek tersebut,kita boleh menyusur galurkannya melalui pembahagian yang mampumenjelaskan kedudukan atau kategori sesebuah karya dari dahulu hingga kini.

    1.3

    1. Huraikan bagaimana khalayak boleh mempraktikkan fungsi

    karya kesusasteraan kepada mereka dalam kehidupan seharian.

    2. Pada pendapat anda, mengapakah pengarang bersusah payahmenghasilkan sesebuah karya?

    AKTIVITI 1.3

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    6/23

    TOPIK 1 PENGENALAN KESUSASTERAAN MELAYU6

    Untuk makluman, bentuk sastera yang tertua bagi semua bangsa di dunia ialahsastera lisan. Secara umumnya, sastera bentuk ini dilahirkan dalam kalanganrakyat yang belum mengenal tulisan. Oleh sebab itu, sastera jenis ini disebut juga

    sebagai sastera rakyat. Sastera lisan terbahagi kepada dua kumpulan sepertiyang ditunjukkan dalam Rajah 1.4.

    Rajah 1.4: Dua kumpulan sastera lisan

    Setiap satunya boleh dipecahkan lagi kepada dua kategori seperti yangditunjukkan dalam Rajah 1.5 berikut.

    Rajah 1.5:Kategori prosa atau puisi

    Berdasarkan Rajah 1.5 dapat dirumuskan bahawa karya sastera dapatdibahagikan kepada dua jenis utama iaitu prosa dan puisi. Kedua-dua jeniskarya ini mengalami perkembangan dan pengaruh yang tersendiri. Subtopikseterusnya akan membincangkan pengaruh-pengaruh luar terhadap karya prosadan puisi.

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    7/23

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    8/23

    TOPIK 1 PENGENALAN KESUSASTERAAN MELAYU8

    Hikayat nabi-nabi adalah berdasarkan kepada kisah tentang diri mereka yangterdapat di dalam al-Quran. Kisah-kisah itu kemudiannya dicampuradukkandengan unsur-unsur fiksyen. Anda harus ingat bahawa hikayat-hikayat ini

    sebenarnya merupakan saduran atau terjemahan daripada karya berbahasaArab. Oleh itu, khazanah Kesusasteraan Melayu Tradisional pun bertambah danterus berkembang dengan kemasukan cerita tentang pahlawan-pahlawan Islamyang berbentuk legenda dalam bahasa Parsi.

    Selain cerita nabi dan legenda Islam tadi, terdapat juga cerita tokoh-tokohsebelum, semasa dan selepas Nabi Muhammad SAW. Antaranya ialah HikayatFiraun, Hikayat Tamim al-Dari dan Hikayat Sultan Ibrahim bin Adham.

    Selain itu, aktiviti terjemahan dan transkripsi juga sudah mula dibuat untukmembolehkan orang ramai membaca karya-karya Hindu seperti Hikayat SyahiMardan, Hikayat Berma Syahdan, Mahabharata dan Ramayana(Rajah 1.6).

    Rajah 1 6: Mahabharata dan RamayanaSumber:

    http://www.exoticindiaart.com/book/details/IDF394/ &http://www.integraltradition.com/catalog/images/ramayana.jpg

    Apabila mendapati karya-karya itu tidak selari dengan tuntutan Islam, makapenyesuaian pun dibuat agar sejajar dengan ajaran Islam. Nama-nama dewaHindu seperti Visynu diganti dengan nama-nama Nabi dan malaikat. DewataMulia Raya ditukar menjadi Allah atau Tuhan yang Maha Esa. Kemudian watak-watak Hindu pula disesuaikan dengan watak bernama Islam hingga hasilnya

    bercampur aduk antara nama Hindu dan Islam.

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    9/23

    TOPIK 1 PENGENALAN KESUSASTERAAN MELAYU 9

    Di samping semua itu, anda harus ingat bahawa nama-nama hikayat seumpamaitu turut ditukar atau ditambah dengan nama Islam. Contohnya ialah Hikayat SiMiskin asalnya Hikayat Marakarma dan Hikayat Ahmad Muhammad asalnya

    Hikayat Serangga Bayu. Kumpulan karya seperti itu disebut KesusasteraanZaman Peralihan atau Kesusasteraan Transisi atau Kesusasteraan Hindu Islam.

    Selain kesusasteraan yang telah dibincangkan tadi, wujud juga kesusasteraanMelayu di Kepulauan Jawa yang dikenali sebagai Sastera Panji. Kata panjipada asalnya merupakan gelaran bagi golongan bangsawan yang berdarah raja.Walau bagaimanapun, gelaran tersebut kemudiannya digunakan dalam cerita-cerita roman Jawa bagi menunjukkan watak pahlawan yang gagah dan kacaksehingga dapat menawan hati wanita-wanita jelita.

    Sastera Panji muncul setelah orang Jawa jemu mendengar cerita-cerita yangberunsur Hindu dalam bahasa Jawa kuno dan bahasa Sanskrit. Sungguhpunsudah ada karya bercorak Islam pada masa itu, namun orang Jawa tidak gemarmembacanya. Oleh sebab itu, penglipur lara Jawa mencari jalan untukmenghasilkan satu bentuk karya berunsur setempat. Dalam pencarian itulahterhasilnya Sastera Panji.

    Cerita dongeng Jawa yang selama ini tenggelam akibat taklukan sastera saduranHindu-Buddha, kini muncul kembali dalam bentuk tersebut. Cerita jenis iniditulis dalam bahasa Jawa Tengah dan sangat popular di istana Raja-Raja JawaTimur pada abad ke-13 hingga ke-15 Masihi. Walaupun cerita-cerita itu ditulis

    oleh penulis Jawa, tetapi ia tidak dapat lari daripada pengaruh Hindu yang telahbertapak sekian lama di Jawa. Unsur-unsur itu termasuklah pertapaan, dewa-dewa, mitos dan legenda.

    Kerajaan Majapahit dikatakan bertanggungjawab menyebarkan sastera Jawa keserata tempat, termasuklah ke Tanah Melayu. Selain itu, kewujudan hubunganantara orang Jawa dengan orang Melayu juga menjadi penyebab tersebarnyacerita-cerita panji ke luar Jawa. Ada pendapat yang mengatakan bahawa cerita-cerita panji berkembang ke Tanah Melayu dalam bentuk lisan dan dalam bentukwayang kulit dan bangsawan.

    Apakah ciri utama cerita panji? Terdapat tiga ciri utama cerita panji yangmembezakannya dengan genre lain iaitu:

    (a) Tema dan persoalan;

    (b) Struktur cerita (plot, latar dan watak); dan

    (c) Penerapan unsur-unsur Hindu.

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    10/23

    TOPIK 1 PENGENALAN KESUSASTERAAN MELAYU10

    Tema pengembaraanmerupakan tema utama dalam Sastera Panji. Namun, jikakita halusi plot cerita-cerita panji, kita akan menemui perkara pokok yangmenjadi penyebab kepada sesuatu pengembaraan iaitu pencarian (quest).

    Contohnya seperti sang wira keluar mengembara kerana kekasih pertamanyadibunuh orang. Pengembaraan dilakukan untuk mencari ganti kekasih ataumencari ketenangan. Dalam cerita yang lain, wira mengembara untuk mencarikekasihnya yang menghilang atau diculik musuh atau diarah meninggalkanistana oleh dewa-dewa.

    Oleh sebab itu, kunci kepada semua persoalan dalam cerita panji ialah pencariandan persoalan yang menyokong tema ini ialah pengembaraan, percintaan,penyamaran dan peperangan. Contohnya rasa cinta yang mendorong wiramencari kekasihnya. Ini ditunjukkan dalam Hikayat Panji Semirang.

    Dalam Hikayat Panji Semirang, Raden Inu Kertapati mencari Raden GalohCendera Kirana yang meninggalkan istana. Raden Galoh meninggalkan istanakerana mencari kedamaian apabila ayah, ibu tiri dan adik tirinya mewujudkanketidakselesaan dalam hidupnya di istana. Lantaran itu mereka punmengembara. Raden Galoh menyamar sebagai lelaki untuk mendapatkankekuatan dan keyakinan diri. Ternyata bahawa kemahuan itu menjadi satu aspekpencarian secara tersirat. Wira berperang untuk mencari kemegahan dan kuasa.Wirawati pula berperang untuk mendapatkan pengiktirafan bahawa wanita jugaperkasa dan boleh berdikari. Cerita digerakkan atas dasar pencarian. Dengan itu,persoalan utama Sastera Panji ialah pencarian.

    Plot cerita panji dimulakan dengan pengenalan, diikuti dengan perkembangandan diakhiri dengan peleraian. Cerita-cerita panji berakhir dengan kegembiraan.Dari segi latar belakang, kita dapati cerita panji berlatarkan empat buah negeri,iaitu Daha, Kuripan, Singasari dan Gagelang. Tempat-tempat ini dikatakanpernah wujud di Jawa. Masyarakat zaman feudal di Jawa merupakan latar

    belakang masyarakat dalam cerita panji.

    Sebagai karya yang terhasil berdasarkan pemikiran dan budaya tradisi Jawa,Sastera Panji masih mengekalkan unsur-unsur Hinduisme dan mitos. Raja-raja

    dikatakan berketurunan dewa-dewa daripada kayangan. Pertapaan merupakansebahagian daripada samadhi. Selain itu, dipaparkan juga konsep penjelmaanyang seiring dengan konsep dihidupkan semula dalam ajaran Hindu.

    Ciri terakhir yang hadir dalam setiap cerita panji ialah pertukaran nama. DalamHikayat Dewa Asmara Jaya, Raden Inu menukar namanya sebanyak tujuh kali.Antaranya ialah Kuda Waneng Baya, Misa Kelana Sira Panji dan Adipati MacanNegara. Pertukaran nama tidak terhad kepada wira dan wirawati sahaja malah

    berlaku juga kepada watak-watak pembantu. Harus diingat bahawa pertukarannama ialah amalan biasa dalam budaya Jawa.

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    11/23

    TOPIK 1 PENGENALAN KESUSASTERAAN MELAYU 11

    Apakah fungsi Sastera Panji? Sastera Panji berfungsi sebagai alat untuk memberihiburan dan pengajaran kepada khalayak. Sehubungan itu, dalam karya-karyatersebut terselit amanat penting daripada pengarangnya. Antaranya ialah niat

    jahat pasti gagal dan janji mesti ditepati. Contohnya dalam Hikayat DewaAsmara Jaya menceritakan niat jahat Raja Sochawindu. Dia marah apabilapinangannya ditolak lalu bertindak menyerang Daha. Niat jahatnya tidakterlaksana kerana Raden Inu Kertapati mengalahkannya. Dalam Hikayat MisaTaman Jayeng Kusuma pula ia menceritakan balasan buruk yang diterima olehpara ratu yang mungkir janji.

    1.3.2 Pengaruh Terhadap Karya Puisi

    Seperti karya prosa dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional, karya berbentukpuisi juga terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu puisi naratifdan puisi bukannaratif. Setiap kumpulan ini pula mempunyai genre dan subgenre masing-masing.

    Tahukah anda bahawa puisi naratif dalam bahasa Melayu ialah syair? Genretersebut dikatakan jenis puisi daripada Arab yang pertama dijumpai di AlamMelayu. Puisi yang dimaksudkan itu telah ditemui dalam bentuk tulisan Arab;namun ia tidak sama dengan syair dalam Kesusasteraan Melayu pada masa ini.

    Sehubungan itu, para sarjana berpendapat bahawa syair yang dihasilkan olehHamzah Fansuri merupakan karangan yang tertua dan ia muncul selepaskedatangan Islam ke Alam Melayu. Bentuk yang diasaskan oleh Hamzah Fansuri

    itulah yang menjadi ikutan kepada penghasilan syair kemudian. Selain syair,pantun berkaitjuga ada kalanya dihasilkan dalam bentuk naratif.

    Puisi Melayu Tradisional yang lain lahir melalui tradisi lisan dan tulisan.Pengucapan bahasa tersebut diolah mengikut pengalaman, peraturan, pengaruhdan persekitaran. Oleh sebab itu, puisi Melayu tradisional yang asli ialah pantun,teromba, talibundan peribahasa berangkap.

    1. Nyatakan pengaruh yang terdapat dalam karya prosa bahasa

    Melayu.

    2. Terangkan ciri-ciri Sastera Panji.

    SEMAK KENDIRI 1.1

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    12/23

    TOPIK 1 PENGENALAN KESUSASTERAAN MELAYU12

    Bagi puisi yang mengandungi pengaruh Hindu, ia terdiri daripada gurindam,rejang, selokadan mantera; manakala puisi yang mengandungi pengaruh ArabParsiialah dikir atau zikir, endoi, rubai, nazam, masnawi, ghazaldan qitah.

    Bentuk genre-genre ini juga adalah berbeza. Ada yang terikat dan ada yangbebas. Mari kita lihat Rajah 1.7 berikut yang memaparkan sembilan bentuk genreyang terikat.

    Rajah 1.7:Sembilan bentuk genre yang terikat

    Rajah 1.8 pula memaparkan lima bentuk genre bebas atau tidak terikat.

    Rajah 1.8:Lima bentuk genre bebas atau tidak terikat

    Namun, pengelasan tersebut tidaklah bersifat tegar. Ini adalah kerana dalamsejarah perkembangan genre-genre tersebut, mungkin berlaku pertindihan

    pengaruh akibat daripada sifat asasnya yang terdedah kepada tokok tambah,pengubahsuaian, penghilangan dan seumpamanya.

    Selain itu, ada juga puisi lain yang disebut sebagai puisi tumpangan keranamenumpang pada genre-genre yang sedia ada. Puisi tumpangan ini terbahagikepada dua, iaitu puisi tumpangan warisan Melayu dan puisi tumpanganwarisan Islam.

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    13/23

    TOPIK 1 PENGENALAN KESUSASTERAAN MELAYU 13

    PEMBAHAGIAN GENRE DALAMKESUSASTERAAN MELAYU

    Sekarang mari kita pelajari bagaimanakah genre dalam Kesusasteraan Melayudibahagikan dan apakah bahagian-bahagian tersebut. Secara dasarnya,Kesusasteraan Melayu dibahagikan kepada dua bahagian utama iaituKesusasteraan Melayu Tradisional dan Kesusasteraan Melayu Moden. Mari kitapelajari dua komponen utama ini dengan lebih lanjut dalam dua subtopikseterusnya.

    1.4.1 Kesusasteraan Melayu Tradisional

    Mari kita lihat Rajah 1.9 berikut yang memaparkan pecahan dalamKesusasteraan Melayu Tradisional dengan lebih terperinci.

    Rajah 1.9: Kategori dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional

    1.4

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    14/23

    TOPIK 1 PENGENALAN KESUSASTERAAN MELAYU14

    Berdasarkan Rajah 1.9, kita dapati bahawa Kesusasteraan Melayu Tradisionalterbahagi kepada dua kategori utama iaitu prosadan puisi. Dalam prosa MelayuTradisional, ia terbahagi lagi kepada dua cabang utama iaitu naratif dan bukan

    naratif.

    (a) Prosa Kesusasteraan Melayu TradisionalProsa Kesusasteraan Melayu Tradisional terdiri daripada prosa naratifdanprosa bukan naratif.

    Prosa naratifterbahagi pula kepada dua jenis iaitu naratif lisandan naratiftulisan. Naratif lisan dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional terbahagikepada tiga genre iaitu mitos, legendadan cerita rakyat. Kemudian, ceritarakyat ini terbahagi kepada tiga subgenre lagi iaitu cerita jenaka, ceritabinatang dan cerita dongeng. Dalam cerita dongeng pula ada cerita lipurlara dan cerita teladan.

    Sekarang mari kita beralih pula kepada prosa naratif tulisan. Dalam prosanaratif tulisan, terdapat tiga peringkat pengaruh yang mempengaruhiprosa tersebut. Tiga peringkat pengaruh tersebut ialah:

    (i) Pengaruh Hindu;

    (ii) Pengaruh Hindu-Islam; dan

    (ii) Pengaruh Islam.

    Jadual 1.1 berikut menjelaskan genre sastera yang dipengaruhi oleh ketiga-tiga peringkat pengaruh yang telah disenaraikan tadi.

    Jadual 1.1:Tiga Peringkat Pengaruh Prosa Naratif Tulisan dan Genrenya

    Peringkat Pengaruh Genre Sastera

    Pengaruh Hindu (a) Sastera Hikayat

    (b) Sastera Panji

    Pengaruh Hindu Islam Sastera Transisi (Sastera Hikayat seperti HikayatInderaputera)

    Pengaruh Islam (a) Sastera Hikayat

    (b) Sastera Sejarah

    (c) Sastera Epik

    Sastera Epik mempunyai dua lagi subgenre iaitu:

    (a) Epik Kebangsaan

    (b) Epik Melayu-Islam

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    15/23

    TOPIK 1 PENGENALAN KESUSASTERAAN MELAYU 15

    Akhir sekali, genre yang tergolong dalam kategori prosa tulisan bukannaratifialah:

    (i) Sastera kitab;

    (ii) Sastera ketatanegaraan;

    (iii) Sastera undang-undang; dan

    (iv) Sastera sufi.

    (b) Puisi Kesusasteraan Melayu TradisionalPuisi ini terbahagi kepada dua jenis iaitu:

    (i) Puisi naratif; dan

    (ii)

    Puisi bukan naratif.

    Di samping itu (jika dilihat dari sudut asal usulnya), genre Puisi MelayuTradisional dapat dikategorikan kepada tiga kumpulaniaitu:

    (i) Puisi tradisional warisan Melayu;

    (ii) Puisi tradisional warisan Islam; dan

    (iii) Puisi tumpangan.

    Puisi tumpangan ini terbahagi pula kepada dua kategoriiaitu:(i) Puisi tumpangan warisan Melayu; dan

    (ii) Puisi tumpangan warisan Islam.

    Rajah 1.10 menyatakan dua kategori puisi tumpangan berserta contohnya.

    Rajah 1.10: Puisi tumpangan

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    16/23

    TOPIK 1 PENGENALAN KESUSASTERAAN MELAYU16

    Teka-teki dan rejang menumpang pada bentuk syair dan pantun. Endoi pulamenumpang pada bentuk syair, nazam dan pantun. Puisi Tumpangan WarisanIslam semuanya menumpang pada bentuk syair atau nazam yang biasanya

    berbahasa Arab.

    Satu lagi genre puisi dalam bahasa Melayu ialah puisi sufi. Puisi jenis inimemaparkan idea-idea tasawuf. Salah seorang penulis puisi jenis ini yang palingterkenal ialah Hamzah Fansuri.

    1.4.2 Kesusasteraan Melayu Moden

    Kesusasteraan Melayu Moden memiliki pelbagai genre. Walau bagaimanapun,dalam topik ini, kita hanya akan membicarakan novel, cerpen, drama, sajak,

    biografi, dan esei atau kritikan sahaja (Rajah 1.11).

    Rajah 1.11: Enam genre dalam Kesusasteraan Melayu moden

    (a) NovelTahukah anda bahawa istilah novel diambil daripada bahasa Inggeris?Asalnya, ia diambil daripada bahasa Itali novella yang bererti satu benda

    kecil yang baru. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan novel?

    Novel ditakrifkan sebagai cereka yang berbentuk prosa.

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    17/23

    TOPIK 1 PENGENALAN KESUSASTERAAN MELAYU 17

    Cereka yang disampaikan dalam bentuk novel amat luas jangkauannya. Inibermaksud novel ialah cerita yang mempunyai:

    (i) Plot yang kompleks;

    (ii) Jumlah watak yang banyak untuk menggerakkan ceritanya;

    (iii) Mengemukakan pelbagai persoalan; dan

    (iv) Mempunyai pelbagai suasana dan latar cerita.

    Empatciri yang disenaraikan tadi menyebabkan secara relatifnya sesebuahkarya novel itu panjang, iaitu lebih panjang daripada cerpen.

    (b) Cerpen

    Apakah maksud cerpen?

    Oleh sebab itu, sudah tentu ceritanya tidak panjang. Namun, batasan atautanggapan panjang pendeknya sesebuah cerpen itu tidak boleh diukur

    berdasarkan jumlah perkataan yang digunakan lantaran sifatnya yang agak

    relatif.

    Pada kebiasaannya, sesebuah cerpen mengisahkan hanya satu kejadiandalam kehidupan yang diwarnai oleh pelbagai kejadian. Sesuatu kejadianyang digambarkan melalui cerpen dianggap sebagai pokok yangmenentukan segalanya. Bagi kemungkinan lain, ia ditinggalkan begitusahaja. Oleh sebab itu, pengisahan yang diutarakan menjadi relatif pendek.

    Sesebuah cerpen biasanya memusatkan satu watak sahaja, terutamanyawatak penting yang menghadapi permasalahan hidup. Persoalan yangditimbulkan itu benar-benar bermakna, penting dan diharapkan dapat

    mengubah sikap dan pemikiran watak-watak yang difokuskan. Contohnyapada watak Wak Da dalam cerpen Kelapa Nan Sebatang karya ShahnonAhmad. Wak Da hidup dalam serba kesusahan. Sewaktu menyeberangisungai melalui titi batang kelapa, Wak Da berhasrat mengakhiri derita dankekecewaannya dengan membunuh diri. Namun demikian, setelahmendapat semangat baru dan keyakinan diri, Wak Da berjaya menyeberangisungai itu dengan semangat hidup yang baru.

    Cerpen membawa maksud cerita pendek. Ia mengambil gabungancer daripada perkataan cerita dan pen daripada perkataan pendek.

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    18/23

    TOPIK 1 PENGENALAN KESUSASTERAAN MELAYU18

    Cerpen biasanya disiarkan dalam akhbar mingguan dan majalah.Sungguhpun begitu, atas inisiatif pihak-pihak tertentu, cerpen-cerpenpilihan dikumpul dan dibukukan. Contohnya, antologi cerpenJanji Sutinah

    selenggaraan Rosnah Baharuddin dan Kelapa Nan Sebatang selenggaraanRamli Isin dan Razak Mamat.

    (c) DramaApakah ciri dan jenis drama? Mari kita lihat Jadual 1.2 untuk mengetahui

    jawapannya.

    Jadual 1.2:Ciri dan Jenis Drama

    Drama

    Ciri Jenis

    Aksi;

    Konflik; dan

    Persembahannya bersifat sekalijalan sahaja.

    Tragedi;

    Komedi;

    Tragi-komedi;

    Opera;

    Pantomin; dan

    Bangsawan.

    Drama jenis tragedi mengandungi kisah sedih yang menimpa watak

    utama. Sekalipun watak itu cuba mengubah nasib malang tersebut denganbaik, tetapi dia tetap gagal. Contohnya Keris Laksamana Bentan olehShaharom Hussain.

    Drama berbentuk komedi pula mengisahkan telatah lucu watak-watakdalam cerita tersebut. Tujuannya untuk menghibur di samping menyindirpenonton-penonton secara halus. Contohnya Cam Ni Cam Tu oleh Hafsham.

    Ada pula drama yang menggabungkan unsur tragedi dengan komedi.Drama jenis ini dinamakan tragi komedi. Contohnya Anak Kerbau MatiEmak karya Bidin Subari.

    Bagaimana pula dengan opera? Opera ialah pementasan sebuah cerekadengan iringan muzik, nyanyian dan lakonan. Cerita yang biasanyadipersembahkan ialah cerita daripada Kesusasteraan Melayu Tradisionalseperti Siti Zubaidah Perang China danJula Juli Bintang Tujuh.

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    19/23

    TOPIK 1 PENGENALAN KESUSASTERAAN MELAYU 19

    Selain itu, sesebuah drama juga dapat dipersembahkan tanpa dialog.Pelakon-pelakonnya hanya mempamerkan gerak laku dan memek muka

    bagi menunjukkan aksi dan perasaan yang boleh difahami oleh penonton.

    Drama jenis ini dipanggil pantomindan ia sering dipersembahkan dalammajlis-majlis sambutan besar seperti Maal Hijrah dan Hari Kebangsaan.

    Jenis drama yang terakhir ialah bangsawan. Ia merupakan pementasanyang bercorak tradisional dalam masyarakat Melayu. Bangsawan amatpopular pada era sebelum Perang Dunia Kedua hingga selepasnya. Ceritayang dipersembahkan oleh kumpulan-kumpulan bangsawan ini diambildaripada kisah-kisah tentang raja-raja seperti Hikayat Indera Bangsawan.

    Antara pengarang yang terkenal dengan karya berbentuk drama dancontoh drama mereka ialah:

    (i) Mustafa Kamal Yassin Atap Genting Atap Rumbia

    (ii) Usman Awang Tamu di Bukit Kenny

    (iii) Noordin Hassan Sirih Bertepuk Pinang Menari

    (iv) Abdul Rahman Napiah Pengadilan

    (d) BiografiTahukah anda apakah maksud biografi?

    Dengan erti kata lain, biografi ialah cabang sastera yang berkaitan denganriwayatatau kisah hidup seseorang.

    Tokoh yang diangkat dalam karya biografi biasanya terdiri daripadapemimpin yang berjasa kepada masyarakat. Contohnya Riwayat Hidup

    Tun Datu Mustafa yang ditulis oleh Abdullah Hussain.

    Biografibermaksud catatan hidup. Ia adalah cantuman kata bio yangbererti hidup dan grafi yang bermaksud catatan.

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    20/23

    TOPIK 1 PENGENALAN KESUSASTERAAN MELAYU20

    Tahukah anda lawan kepada biografi ialah autobiografi? Apakahmaksudnya?

    Satu contoh autobiografi yang terkenal ialah Hikayat Abdullah yang ditulisoleh Abdullah Munsyi.

    (e) Esei atau KritikanSecara amnya, esei atau kritikan merupakan tulisan yang berdasarkankenyataan yang benar-benar wujud. Dalam erti kata lain, tulisan jenis initidak mengandungi unsur khayalan. Pengarangnya pula akan

    membentangkan persoalan kemanusiaan atau kehidupan yang dihayatinyasecara objektif mahupun subjektif berasaskan niatnya.

    Dalam konteks kesusasteraan, esei sastera membicarakan segala hal yangbersangkutan dengan karya, tokohdan isu isu semasa.

    Apakah maksud kritikan secara spesifik?

    Mereka yang menceburi bidang ini dipanggil kritikus. Kritikus wajibmempunyai ilmu yang mapan untuk menangani sesebuah karya. Ini adalahkerana kedangkalan ilmu akan menyebabkan kritikan yang diutarakan itutidak adil dan saksama. Pada masa ini, terdapat pelbagai pendekatan yangdigunakan oleh para pengkritik untuk menilai sesebuah karya sastera. Halini akan dibincangkan kemudian.

    (f) Sajak

    Apakah yang dimaksudkan dengan sajak? Berikut ialah maksud sajaksecara ringkas.

    Di Malaysia, pertumbuhan dan perkembangannya terserlah selepaspenyair terdedah dengan bacaan dari luar; sama ada daripada Indonesiaatau Barat.

    Sajak ialah puisi moden.

    Kritikan bermaksud mempertimbangkan baik buruk sesebuah karyayang telah disiarkan atau dibukukan.

    Autobiografibermaksud karya yang mencatat tentang diri sendiri.

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    21/23

    TOPIK 1 PENGENALAN KESUSASTERAAN MELAYU 21

    Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Punggok atau nama sebenarnyaMuhammad Yassin Maamor merupakan pelopor puisi moden di Malaysia.Sajaknya yang berjudul Di Tengah Segara termuat di dalam Majalah Guru

    keluaran Disember 1933. Petikannya adalah seperti berikut:

    Di dalam gelombang hambur-menghamburKudengar seru sayup bahasaHatiku lebur bagaikan hancur

    Hendak kurenang beta tak bisa.

    Petikan di atas kelihatan seperti pantun kerana terdapat rangkap dan rimaakhir pada petikan tadi. Sajak ini ditulis empat baris serangkap dan berimaa-b-a-b. Kedua-duanya mempunyai ciri-ciri pantun. Walau bagaimanapun,puisi ini telah menyimpang daripada pantun dan syair kerana tidak adapembayang, semuanya maksud dan rima akhirnya bukan a-a-a-a.

    Dengan demikian, Punggok telah memperlihatkan kebebasannya dalamberkarya. Kebebasan itu bermaksud lari daripada puisi tradisional. Bertitiktolak dari sinilah lahir sajak-sajak lain yang bebas daripada ikatan puisitradisional dan menjadi satu genre Kesusasteraan Melayu Moden yangpopular.

    Apakah kegunaan sajak? Sajak digunakan untuk:

    (i) Menyampaikan pemikiran;

    (ii) Meluahkan perasaan; dan

    (iii) Menggambarkan sesuatu kejadian.

    Sebelum negara kita mencapai kemerdekaan, sajak memenuhi ruangakhbar dan majalah. Kesemuanya dihasilkan khusus untuk meluahkanperasaan dan membangkitkan semangat juang menentang penjajahan.

    Selepas itu, fungsi sajak berubah menjadi alat untuk mengisi kemerdekaan,

    membentuk pemikiran atau menggerakkan pembangunan. Antara penyairyang terkenal di tanah air sekarang ialah Usman Awang, Muhammad HajiSalleh, A. Ghafar Ibrahim, Siti Zainon Ismail, A. Latif Mohidin, Kemala danT. Alias Taib.

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    22/23

    TOPIK 1 PENGENALAN KESUSASTERAAN MELAYU22

    Kesusasteraan bermaksud semua hasil seni yang disampaikan melaluibahasa dan berguna kepada khalayak.

    Antara fungsi kesusasteraan ialah memberi pengetahuan, menyemai nilai-nilai murni untuk diteladani, memberi ketenangan dan merehatkan fikiranserta memberi kepuasan.

    Bagi pengarang pula, kesusasteraan berfungsi untuk mendapatkankeseronokan, menajamkan pemikiran, berbakti kepada masyarakat danmenyara kehidupan.

    Pengaruh yang melatari kesusasteraan Melayu ialah animisme, Hindu danIslam.

    Terdapat dua kategori dalam kesusasteraan Melayu iaitu kesusasteraanMelayu tradisional dan kesusasteraan Melayu moden.

    Kesusasteraan Melayu tradisional terbahagi kepada dua genre iaitu prosadan puisi.

    Prosa Melayu tradisional pula dibahagikan kepada naratif dan bukan naratif.

    Puisi kesusasteraan Melayu tradisional terbahagi kepada dua iaitu puisinaratif dan puisi bukan naratif.

    Genre prosa dalam kesusasteraan Melayu moden ialah novel, cerpen, drama,biografi, autobiografi, esei dan kritikan.

    Genre puisi dalam Kesusasteraan Melayu Moden ialah sajak.

    1.

    Apakah yang anda faham dengan genre berbentuk naratif?Senaraikan tiga contoh genre tersebut yang terdapat dalamKesusasteraan Melayu Tradisional.

    2. Huraikan secara ringkas jenis- enis drama dalam KesusasteraanMelayu Moden.

    SEMAK KENDIRI 1.2

  • 7/25/2019 BMM3163 Tajuk 1.pdf

    23/23

    TOPIK 1 PENGENALAN KESUSASTERAAN MELAYU 23

    Autobiografi

    Biografi

    Bukan naratif

    Cerpen

    Drama

    Ciri

    Esei

    Fungsi

    Kesusasteraan

    Kesusasteraan Melayu moden

    Kesusasteraan Melayu tradisional

    Kritikan

    Naratif

    Novel

    Pengaruh

    Prosa

    Puisi

    Sajak

    Harun Jaafar. (2002). Wacana kesusasteraan Melayu klasik. Tanjong Malim,Malaysia: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

    Hashim Awang. (1984). Teman pelajar kesusasteraan. Petaling Jaya, Malaysia:Fajar Bakti.

    Majlis Peperiksaan Malaysia. (1996). Warna sari sastera Melayu tradisional.Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka.

    Rahmah Bujang. (1994). Dari skrip ke pentas. Kuala Lumpur, Malaysia: DewanBahasa dan Pustaka.